utama

Foto bogel tersebar

Oleh Norizuan Shamsuddin

KUALA LUMPUR: Kehadiran artis Indonesia serta penularan gambar bogel Vanessa Angel yang diambil di ibu kota turut menarik perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan bagi mengesan sekiranya terdapat kegiatan pelacuran kelas atasan membabitkan artis terbabit di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada artis terbabit melakukan aktiviti pelacuran di ibu kota.

Gambar bogel artis itu mula tersebar di media sosial sejak pagi semalam oleh pihak tidak diketahui.

Ia dirakam semasa artis itu mandi bersama seorang individu semasa Vanessa berada di Kuala Lumpur sekitar Disember 2018 berdasarkan kenyataan peguam artis itu, Muhammad Zakir Rasyid.

Malah, Vanessa mengakui wanita dalam foto itu adalah dirinya, namun tidak sedar dia dirakam individu yang tidak dinamakan.

Rohaimi berkata, tiada lagi maklumat ataupun sebarang tangkapan membabitkan artis Indonesia yang terbabit dengan aktiviti pelacuran di negara ini.

“Bagaimanapun, polis sentiasa memandang serius sebarang bentuk kegiatan maksiat dan jenayah di negara ini,” katanya.

Sementara itu, wartawan difahamkan siasatan akan dilakukan berikutan gambar aktres yang tersebar tanpa seurat benang itu adalah antara individu yang turut ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas didapati terbabit dalam aktiviti pelacuran dalam talian.

“Sindiket itu didakwa mempunyai rangkaian dari dalam dan luar negara, jadi kami akan cuba mendapatkan maklumat untuk mengetahui sama ada rangkaian pelacuran itu turut berada di negara ini atau sebaliknya.

“Selain memastikan sama ada negara ini menjadi tumpuan mereka untuk transit bagi mendapatkan pelanggan dan sebagainya,” kata sumber terbabit.

Sebelum itu, media tempatan negara berkenaan melaporkan dua artis wanita Indonesia ditahan dipercayai terbabit dalam pelacuran secara dalam talian membabitkan bayaran Rp25 juta (RM7,238) dan Rp80 juta (RM23,164), Sabtu lalu.

Selepas sehari penahanan dilakukan, gambar bogel seorang daripada artis terbabit tersebar di media sosial menjadi tular dan ia didakwa diambil sewaktu berada di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Muhammad Zakir berkata, penyebaran gambar itu memang disengajakan pihak tertentu ketika artis terbabit disoal siasat polis di Jawa Timur kerana disyaki ada kaitan dengan aktiviti pelacuran.

“Anak guam saya sedang disoal siasat. Memang ada orang sengaja mengedarnya dan kami akan membuat laporan polis terhadap 25 akaun yang menyebarkannya,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 9:52am
d