utama

[UPDATE] Eric Liew sudah kena cekup

Oleh Hasbi Sidek

PEMILIK akaun Facebook (FB) atas nama Eric Liew yang disyaki membuat hantaran di FB dengan menghina sekali gus derhaka terhadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sudah ditahan polis, semalam.

Turut ditahan, seorang lagi lelaki dan seorang wanita yang dikenal pasti memuat naik komen berunsur hinaan terhadap baginda di laman Twitter.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan dibuat berdasarkan laporan polis yang diterima pihaknya berhubung perletakkan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis berhubung tindakan pemilik akaun di media sosial yang memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V.

“Ekoran itu, tiga individu ditahan pada 8 Januari (semalam) bagi membantu siasatan termasuk individu yang menggunakan nama Eric Liew di Facebook. Semua individu itu berusia 26, 27 dan 46 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, ketiga-tiga individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Masyarakat dinasihatkan menggunakan medium laman sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat provokatif atau memanipulasi isu perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 sehingga mampu menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja,” katanya.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 3:08pm
d