utama

Penyeri baru Buletin Utama

Oleh Syanty Octavia Amry

Dalam usaha mengukuhkan penjenamaan TV3 dan slot beritanya, sempena 2019, beberapa muka baru ditampilkan bagi sama-sama memberikan kelainan pada stesen TV itu.

Selain mengekalkan penyampai sedia ada, slot Buletin Utama dan Nightline diserikan dengan beberapa muka baru seperti Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, Nik Munirah Nik Hassan, Ramzan M Saufi, Naquia Basharudin, Fatin Hamimah Yusof serta Syahira Izzaty Yaacob.

Walaupun semuanya sudah lama dalam bidang kewartawanan, rasa gementar tetap ada apatah lagi bagi yang mengemudi Buletin Utama yang memiliki ‘rating’ paling tinggi ketika ini.

Dalam pertemuan dengan RAP baru-baru ini, masing-masing berkongsi perasaan gembira dan teruja apabila dipilih menghiasi slot yang menjadi idaman setiap pembaca berita.

Menjadi penyampai berita paling muda di Buletin Utama, Hawa, 23, berharap tidak ada yang mempertikaikan perkara itu kerana dia yakin ada sebab mengapa pengurusan memilihnya.

Tidak dinafikan ada beranggapan dia terpilih kerana memiliki wajah cantik persis pelakon dan pengacara popular, Neelofa.

Bagi Hawa, rupa adalah anugerah Allah dan dia bersyukur atas kurniaan itu, namun berharap biarlah orang lebih memandangnya kerana bakat.

“Saya bersyukur ramai yang memberi sokongan positif. Walaupun ada yang beranggapan saya dipilih kerana berwajah cantik, harapan saya biarlah orang lebih menilai bakat sebagai pembaca berita yang berkebolehan.

“Saya sendiri melakukan semua perkara bermula dari bawah. Saya sentiasa berlatih dan meminta tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman. Saya yang masih baru dalam bidang ini, banyak lagi perkara perlu saya pelajari dan apa yang penting saya melakukannya ikhlas kerana Allah SWT. Insya-Allah jika kita bersungguh-sungguh pasti ia akan berhasil dengan baik,”katanya.

Nik Munirah kekok kendali program sukan

Jika sebelum ini Nik Munirah, 30, lebih terdedah dengan berita serius seperti Buletin Pagi dan Laporan Cuaca Berita, segmen sukan memerlukannya lebih santai dan ceria.

Mengakui pada awalnya berasa kekok, Nik menggunakan kelebihan minat terhadap bidang sukan untuk lebih mudah mengendali segmen dalam Buletin Utama itu.

“Saya perlu lebih santai dan memang pada awal rasa agak sukar kerana itu saya kerap membuat latihan dan berbincang dengan penerbit.

“Jujurnya saya seorang yang ceria dan sebenarnya segmen ini sangat sesuai dengan jiwa tapi disebabkan sudah sering mengacara segmen yang serius saya memerlukan masa untuk lebih mendalami sukan. Ia sangat mencabar namun saya berharap akan lebih selesa dan serasi selepas ini,” katanya.

Ramzan tak mahu syok sendiri

Dalam mengelolakan Buletin Utama, Ramzan, 36, tidak mahu syok sendiri kerana apabila membaca berita berdua, dia perlu mendapatkan keserasian dan kerjasama yang baik dengan pasangannya.

“Jika sebelum ini saya membaca berita seorang diri tetapi apabila berdua cabaran lebih lagi. Walaupun kedua-duanya ada cabaran tersendiri, dalam Buletin Utama saya perlu bekerjasama dengan pasangan.

“Apa yang penting saya perlu meninggalkan sesuatu yang akan membuatkan penonton berasa lebih dekat dengan berita yang disampaikan,” katanya.

Selain mengacara, Ramzan turut menjadi tenaga pengajar di syarikat penerbangan dan ini memerlukan dia lebih bijak dalam membahagikan masa.

“Setiap masa yang ada sangat berharga buat saya dan perlu bijak menguruskannya,” katanya.

Naquia seimbangkan lakonan, penyampai berita

Mempunyai pengalaman sebagai pelakon teater, Naquia, 30, mahu bidang lakonan dan pengacaraan berjalan seiring.

Menurut wanita kelahiran Singapura ini, kedua-dua bidang itu sangat diminatinya walaupun kurang mendapat sokongan orang tua terutama bapanya.

“Saya perlu buktikan kedua-dua bidang yang saya pilih ini mampu memberi pulangan lumayan buat saya. Itu yang ayah saya mahu lihat.

“Namun, apa yang penting jika kita betul-betul minat pasti ia akan lebih mudah dan senang. Namun, tidak bermakna saya tidak perlu berusaha, sebaliknya pengalaman yang ada perlu saya praktikkan selama bekerja.

“Mungkin juga pengalaman berlakon teater membuatkan saya tidak kekok berada di hadapan kamera,” katanya.

Fatin enggan dibandingkan

Lama menanti peluang membaca berita di Buletin Utama, Fatin, 28, berharap setiap mereka diberi peluang membaca dengan cara masing-masing.

Bagi Fatin, pembaca yang lama sudah berpengalaman pastinya lebih tahu apa yang penonton mahukan.

“Saya akui rasa sedikit tekanan apabila ada yang cuba membanding-bandingkan kami dengan yang lama. Setiap orang ada cara masing-masing. Sebagai orang baru masih banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari dan perbetulkan,” katanya.

Namun, Fatin mengambil positif setiap pandangan penonton ini bermakna penonton sedar akan kewujudan mereka dalam Buletin Utama.

Dalam pada itu, Fatin berkata, jika sebelum ini dia membaca berita seorang diri, kini apabila berdua dia perlu sentiasa peka supaya tidak terlajak.

“Memang sedikit susah sebab sebelum ini apabila membaca berita seorang diri sambil memegang alat ‘promter’ saya tahu urus masa, tetapi apabila berdua saya perlu pastikan pasangan saya tidak ketinggalan,” katanya.

Syahira anggap cabaran baru

Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan, ia bukan alasan untuk Syahira, 27, berasa rendah diri.

Sebaliknya diberi peluang mengemudi Buletin Utama, ia satu cabaran baru dalam kerjayanya sebagai penyampai berita.

“Saya anggap ini satu peluang apabila minat sejak kecil hendak menjadi wartawan menjadi kenyataan. Apatah lagi membaca berita di Buletin Utama, pastinya ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan.

“Maklumlah saya rasa diri masih baru sudah diberi kepercayaan ini. Harapan saya kerjasama dengan rakan di Buletin Utama dapat menarik lebih perhatian penonton.

“Tambahan lagi dengan segmen baru yang diketengahkan yang lebih mengutamakan penonton pastinya ia lebih mengujakan,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 6:30am
d