utama

Trauma berterusan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Ramai yang masih termenung, ada belum berani menjejakkan kaki ke pantai dan memilih untuk terus tinggal di penempatan sementara di pinggir gunung kerana bimbang dilanda kampung mereka dilanda tsunami.

Itulah gelagat penduduk disaksikan aktivis kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Wilayah Utara, PASRelief dan kumpulan Facebook Titian Kasih, kini berada di Sumur, Pandeglang, Banten, Indonesia sejak Isnin lalu.

Aktivis kemanusiaan Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, mangsa yang selamat masih trauma dan amat terkesan akibat bencana berlaku 22 Disember lalu.

Katanya, masih ramai tidak dapat melupakan perkampungan mereka yang menjadi kediaman 500 penduduk musnah sekelip mata akibat dibadai tsunami.

“Riak wajah sudah cukup menunjukkan mereka ini masih takut dan terkesan dengan bencana berlaku. Mereka takut-takut untuk berada atau melihat pantai menghadap Selat Sunda.

“Tidak kurang ada yang kelihatan sayu lalu menangis bila mengenangkan kehilangan orang kesayangan dan kediaman tempat berteduh lenyap sekelip mata.

“Apa yang disaksikan sungguh menginsafkan dan Insya-Allah saya akan kongsikan dalam siri ceramah serta majlis bersama rakyat nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sik, Kedah.

Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya menyampaikan bantuan bagi membiayai kos projek Rumah Sementara Untuk Kemanusiaan (RUSUK) dan sumbangan keperluan asas bagi membantu mangsa tsunami.

Menurutnya, turut disumbangkan ialah bantuan untuk menyiapkan saluran paip air dari bukit yang terletak satu kilometer dari perkampungan Paniis.

Tanah tinggi berkenaan menjadi satu-satunya sumber air paling bersih boleh diperoleh di kawasan itu.

Jelasnya, misi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan berharap orang ramai dapat menyalurkan sumbangan untuk sama-sama meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.

“Sebarang perkembangan terkini boleh layari Facebook Titian Kasih dan PASRelief,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 7:31am
d