utama

Ramli calon BN bagi PRK Cameron Highlands

Oleh Idris Musa

TIMBALAN Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini mengumumkan bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor, 61, sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan datang.

Mohamad berkata, keputusan meletakkan calon tempatan itu bagi memastikan BN memenangi PRK terbabit.

“Kita perlu menang, untuk menang kita ambil pendekatan berlainan.

“Dulu parti mendukung kami, tapi dalam keadaan politik semasa dan fitnah dilemparkan oleh PH (Pakatan Harapan) kepada BN, sekarang calon mendukung parti.

“Calon menjadi faktor penting, bukan parti lagi,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, wakil parti komponen BN termasuk dari PAS, sekali gus memberi bayangan parti itu juga akan membantu BN memenangi kerusi terbabit. Mohamad berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada MIC kerana 'meminjamkan' kerusi tradisi ditandinginya itu.

“Kita sudah senarai pendek beberapa nama dan jumpa yang berkecuali, bukan seorang ahli parti pun, calon anak tempatan.

“Terima kasih MIC kerana ‘meminjamkan’ kerusi ini. BN mesti menang,” katanya.

Sementara itu, Presiden MIC Tan S A Sri Vigneswaren berkata, tindakan BN meletakkan calon terbabit adalah strategi untuk menang.

“Ini adalah satu strategi, bukan mengenai undi kaum India saja, tetapi untuk mendapatkan undi Melayu dan Orang Asli.

“Kami fikir ini dibuat secara strategik untuk menang pilihan raya, dengan meletakkan calon ada integriti," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 12:17pm
d