utama

Dah cedera, kena gilis pula

Oleh Agensi

BRASILIA: Seorang pemain bola sepak bernasib malang apabila kakinya digilis kenderaan perubatan yang dihantar ke padang untuk membantunya selepas mengalami kecederaan ketika permainan.

Kejadian berlaku ketika perlawanan bola sepak remaja di antara Trindade dengan Flamengo, baru-baru ini apabila pemain yang cuma dikenali sebagai Bernardo terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan.

Susulan itu, pengadil memanggil pasukan perubatan yang membawa kereta bagi membawa Bernardo keluar dari padang.

Malangnya, kereta itu terlalu rapat mendekati Bernardo yang terbaring di padang sehingga menggilis kakinya, namun tidak disedari sesiapa. Bernardo segera menyambar kakinya sambil menjerit kesakitan, manakala orang di kelilingnya cuma memandang hairan.

Kakitangan perubatan yang akhirnya menyedari apa berlaku bagaimanapun tidak langsung menunjukkan rasa bersalah, sebaliknya sekadar tersenyum simpul kepada pengadil.

Bernardo akhirnya diusung keluar dan dilihat memegang kepalanya - mungkin disebabkan sakit, tapi mungkin juga akibat malu dengan kejadian yang menimpanya.

Namun, perkara itu berakhir dengan berita baik untuk pasukannya yang menang dalam perlawanan itu menerusi 1-0 ke atas lawan mereka.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 6:30am
d