utama

Nak elak lopak punya pasal...

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TUJUH penunggang motosikal yang sedang berteduh di bawah jambatan, cedera selepas dirempuh Nisan Grand Livina dalam kejadian di Kilometer 5.2 Lebuhraya LinKedua arah utara di Iskandar Puteri, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian 5 petang itu berlaku ketika semua penunggang terbabit berteduh di bawah jambatan kawasan itu.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan di pandu warga Singapura berusia 52 tahun dari arah Singapura menghala ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan akibat melanggar lopak air sebelum terbabas dan berpusing melanggar pembahagi tepi jalan.

“Kenderaan itu kemudian merempuh tujuh motosikal yang berteduh di bawah jambatan kerana hujan lebat,” katanya dihubungi bagi mengesahkan kemalangan itu.

Beliau berkata, berikutan itu semua penunggang motosikal cedera termasuk seorang daripadanya cedera di muka.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan susulan kecederaan dialami,” katanya.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus, tiga lorong satu hala, garisan putih berkembar sebagai tanda pemisah jalan.

“Ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat,” katanya.

Katanya, setakat ini enam mangsa terbabit kemalangan itu membuat laporan polis, manakala dua mangsa belum membuat laporan setakat ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 7:31pm
d