utama

Hafiz 'tawan hati' Nelydia

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Nelydia Senrose berkongsi berita gembira apabila bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka dikenali sebagai Hafiz tahun ini.

Nelydia berkata, selepas perancangan untuk berkahwin tahun lalu tidak tercapai dia berharap impiannya untuk bergelar isteri tahun ini dipermudahkan.

“Insya-Allah tahun ini. Sejujurnya saya ada merancang untuk berkahwin tahun lalu tapi disebabkan kekangan kerja saya terpaksa menangguhkannya.

“Mungkin juga masa belum sampai menyebabkan ada saja halangan yang datang.

“Namun ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini saya selalu berdoa agar urusan untuk berkahwin ini dipermudahkan dan meminta petunjuk daripadaNya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nelydia, dia memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi butiran terperinci mengenai persiapan perkahwinannya kerana tidak mahu sejarah lama berulang.

“Biarlah sudah 80 peratus siap baru saya kongsikan butiran majlis.

“Lagipun saya tidak mahu kongsikan mengenai persiapan perkahwinan secepat ini takut ia akan memberi tekanan sekali gus apa yang dirancang tidak berlaku seperti tahun lalu,”katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 7:27pm
d