utama

Lahir tanpa tulang paha

Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Kekurangan diri tidak membataskan aktiviti harian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Kampung Huma, Tanjung Dawai.

Kanak-kanak itu terpaksa menggunakan kedua-dua tangan untuk menyokongnya berjalan selepas dilahirkan tanpa tulang paha.

Walaupun dalam keadaan seperti itu, Muhammad Faris Amsyar Saimie masih tetap ceria seperti kanak-kanak seusianya yang lain, malah dia yang sudah memasuki tahun satu begitu bersemangat memulakan sesi persekolahan bermula sejak seminggu yang lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Dawai.

Ibunya, Mariam Hamdan, 32, berkata, dia dan suami Saimie Salleh, 46, sudah menghantar anaknya masuk prasekolah pada tahun lalu dan mereka tidak berdepan dengan sebarang kesukaran.

Menurutnya, walaupun anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU), dia mempunyai tahap pemikiran seperti kanak-kanak yang lain dan menunjukkan minat serta kesungguhan untuk belajar.

“Tahun ini, Muhammad Faris tidak kekok untuk ke sekolah, walaupun dalam keadaannya begitu tetapi dia diterima baik dan disenangi oleh rakan-rakannya serta guru di sekolah.

“Saya terharu apabila setiap kali datang ke sekolah, anak akan dijemput dengan menaiki kerusi roda dan ditolak oleh rakan-rakannya masuk ke bilik darjah.

“Di dalam kelas pula, guru menyediakan pelapik kayu untuk memudahkan dia naik ke kerusi,” katanya di rumah mereka, semalam.

Mariam berkata, kekurangan dialami anak sulung daripada dua beradik itu sebenarnya dikesan sejak kandungannya berusia tujuh bulan.

“Waktu buat imbasan bayi ketika mengandungkannya, doktor mengesahkan anak saya mengalami kecacatan fizikal apabila kakinya kelihatan seperti bercantum dan lebih pendek daripada biasa,” katanya.

“Awalnya saya dan suami agak sedih kerana memikirkan masa depan anak kami itu, namun apabila kami muhasabah diri dan sedar ada lagi yang lebih teruk daripada keadaannya,” katanya.

Menurutnya, awalnya anaknya mampu berdiri dan berjalan, tetapi apabila usianya semakin meningkat dengan pertambahan berat badan, kaki Muhammad Faris tidak mampu lagi menampung berat badannya sehingga terpaksa berjalan dengan bantuan kedua-dua belah tangannya.

Katanya, anaknya itu perlu dibekalkan dengan dua pasang kasut setiap kali keluar dari rumah termasuk ketika ke sekolah.

Sementara itu, Muhammad Faris berkata, dia tidak pernah diejek oleh rakan-rakannya sama ada di rumah atau di sekolah, sebaliknya dia mempunyai ramai rakan yang sudi berkawan dengannya.

“Waktu petang selalunya saya akan bermain bola dengan kawan-kawan, depa (kawan-kawan) tidak pernah ejek saya, kami main macam biasa,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru agama.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 8:27am
d