utama

'Dia legenda'

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Tegas hal karier namun sangat baik dalam berkawan.

Dia dianggap legenda dalam mengorak kegemilangan akhbar Harian Metro dan Metro Ahad sehingga ia menjadi akhbar pilihan ramai hari ini.

Demikian gambaran sahabat wartawan mengenai karakter bekas Pengarang Eksekutif Harian Metro Allahyarham Mohd Zian Johari yang meninggal dunia semalam pada usia 65 tahun.

Bekas Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Abdul Ghafar Ismail berkata, biarpun terkenal dengan ketegasannya namun arwah bersikap terbuka menerima pandangan anak buah.

Katanya, ketika mula bertugas sebagai Ketua Penyunting pada awal penubuhan Harian Metro dulu, mereka sering berbincang dan bertukar pendapat dalam membangunkan akhbar ini.

“Arwah jenis yang mudah bekerjasama dan menerima pendapat orang lain. Contohnya dalam pemilihan berita muka depan, ada ketikanya dia terima pendapat saya dan orang lain.

“Kami pernah bertugas bersama di meja sukan Berita Harian pada 1982 hingga 1990-an jadi mungkin ada rasa segan dan hormat,” katanya.

Bekas Pengarang Eksekutif (Rencana) Harian Metro Johari Mohamad pula berkata, meskipun Allahyarham dikenali sebagai bos yang tegas dan bekerja kuat namun beliau seorang yang baik hati dan menghargai usaha anak buah dengan memberi penilaian setimpal.

Katanya, beliau mula berkhidmat sebagai Penolong Pengarang Berita pada 1990-an di bawah Mohd Zian sebagai Pengarang Harian Metro selama lebih 10 tahun.

“Saya banyak belajar ilmu kewartawanan dengannya serta bidang berkaitan seperti cara merancang gerak kerja untuk projek, perkara besar dan banyak lagi.

“Walaupun cara kerjanya nampak keras dan tegas, tapi saya banyak belajar. Arwah tidak bagi ruang untuk silap, dia marah pada permulaan saja, tapi akhirnya kita banyak belajar daripadanya,” katanya.

Bekas Pengarang Eksekutif Berita dan Hal Ehwal Semasa Harian Metro, Sharifuddin Mohamed, 58, berkata legenda adalah perkataan sesuai untuk menggambarkan karakter Allahyarham.

“Beliau memang legenda. Caranya memang tersendiri untuk tunjuk ajar orang bawahannya terutama dalam membentuk editor muda berdasarkan pengalaman luasnya dalam kewartawanan.

“Tak dapat dinafikan, beliau seorang daripada pemimpin Harian Metro yang memberi suntikan kejayaan sehingga akhbar itu diterima ramai pembaca,” katanya.

Bekas penyampai sukan Astro Arena dan bekas wartawan sukan BH Rizal Hashim, 49, yang pernah bekerja di bawah seliaan Allahyarham pula menjelaskan Mohd Zian adalah seorang yang berwawasan dengan membawa perubahan dari segi kandungan laporan berita sukan.

“Beliau mewujudkan pelbagai kolum untuk memenuhi citarasa pembaca antaranya Kalam Si Kancil. Pojok dua perenggan yang tajam dan sinis. Apapun, dalam serius bekerja namun Allahyarham sangat mengutamakan silaturahim.

“Ketika Ramadan, beliau selalunya menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah kakitangan secara bergilir,” katanya.

Mohd Zian memulakan kerjaya sebagai wartawan meja sukan di New Straits Times pada 1975 pernah dilantik sebagai Pengarang Sukan Berita Harian, Pengarang Eksekutif Harian Metro dan Pengarang Eksekutif Berita Minggu sebelum berhenti daripada bidang kewartawanan apabila mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2004.

Arwah yang dilahirkan di Kampung Sungai Jernih, Lubuk Cina, Melaka pada 1954 kemudiannya berkhidmat sebagai Pegawai Media di Pejabat Setiausaha Agung UMNO di bawah Tan Sri Annuar Musa.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 10:14am
d