utama

Tajul fokus 2 bidang

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Cabang seni terlalu banyak untuk diteroka. Istilah seni itu juga tidak mengehadkan seseorang anak seni supaya kekal dengan satu cabang saja.

Bagi penyanyi Tajul, dia tidak mahu berada di takuk yang sama dalam kariernya.

Baginya, di mana ada peluang untuk meluaskan namanya, dia akan ambil.

Tahun 2019 nampaknya tidak akan hanya melihat perkembangan karier Tajul dalam bidang muzik saja, tetapi juga lakonan.

“Saya pernah berlakon dalam telefilem Tergantung Rindu sebelum ini. Jadi, pengalaman berlakon itu ada. Selain telefilem, saya juga pernah berlakon filem berjudul Enjin No 9.

“Insya-Allah, pihak pengurusan dalam proses perbincangan untuk saya membintangi sebuah drama. Jika semuanya berjalan lancar, penggambaran akan bermula dalam masa terdekat ini,” katanya.

Penyanyi yang mula popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu itu berkata, dia akan cuba sebaik mungkin untuk memberikan perhatian kepada dua kerjayanya itu.

“Jika boleh, tahun ini saya nak fokus kepada dua bidang itu. Namun, keutamaan saya tentunya kepada muzik kerana saya bermula dengan muzik.

“Lagipun, muzik dan nyanyian tidak penat seperti berlakon,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya dalam memastikan momentum namanya dalam industri muzik terus kekal kukuh, Tajul merancang beberapa strategi.

Antaranya, tahun ini dia cuma mahu mengeluarkan satu atau dua lagu. Dia juga akan memastikan setiap lagu yang dikeluarkan ada jarak masa yang sesuai.

Tajul yang kini hadir dengan single berjudul Kembalilah Rindu mengatakan lagu itu sedikit berbeza berbanding lagunya sebelum ini.

“Dari segi genre, Kembalilah Rindu adalah lagu rancak dan mengingatkan kepada lagu nyanyian saya sebelum ini iaitu Hasrita. Saya tidak ‘melekat’ dengan satu rentak saja dan sentiasa terbuka untuk mencuba benda baru,” katanya.

Namun, dari segi sambutan lagu ciptaan Ajak Shiro itu nampaknya kurang hangat jika dibandingkan dengan lima singlenya sebelum ini.

“Tahun lalu saya keluarkan enam single. Mungkin kerana terlalu banyak, jadi nak dapat jumlah tontonan yang banyak menjadi sangat mencabar,” katanya.

Tetap selesa dengan Wany Hasrita

Tidak hanya popular sebagai penyanyi solo, Tajul juga mencuri tumpuan apabila kerap bekerjasama dengan rakan seperjuangannya, Wany Hasrita.

Menurutnya, dia sendiri selesa bekerja dengan penyanyi yang menyandang gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu.

“Saya selesa dan tidak ada masalah bekerjasama dengan Wany. Kalau ada orang yang suka bercakap hal negatif mengenai kami, mungkin kerana mereka tak suka,” katanya.

Terbaru, Tajul dan Wany hadir dengan lagu Aku Serius yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

“Alhamdulillah, lagu Aku Serius mendapat sambutan yang sangat baik daripada peminat. Bagaimanapun, ada juga yang belum dapat terima rentaknya yang berbeza berbanding lagu duet kami yang terdahulu,” katanya.

Yang pasti, Tajul tidak akan terus berhenti berjuang di dalam industri muzik. Banyak kekurangan pada tahun lalu akan diperbaiki tahun ini.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 6:30am
d