utama

Ajal bayi di garaj kereta

Oleh Ramli Ibrahim

BAYI perempuan dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di garaj kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Putra, Gua Musang, hari ini.

Kejadian berlaku pada 5 petang dan mangsa Aamina Inayah Mohd Hafezul, 17 bulan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), 30 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu pengasuhnya berusia 54 tahun cuba mengalihkan kenderaan Toyota Fortuner yang berada di luar garaj itu.

Katanya, ketika itu pengasuh bayi berusia 20 tahun berkenaan berada di dalam rumah, dan tidak menyedari bayi terbabit keluar dari rumah.

“Dia (pengasuh) yang menyedari kehilangan bayi itu mencarinya dan terdengar suara menangis sebelum melihat bayi berkenaan terbaring di tepi hadapan kenderaan terbabit.

“Pengasuh bersama ibunya mengangkat bayi itu lalu dikejarkan ke HGM, tetapi mangsa meninggal dunia setengah jam ketika menerima rawatan,” katanya.

Difahamkan, bayi itu tinggal di rumah pengasuhnya sejak seminggu lalu berikutan bapanya bekerja, manakala ibunya pula bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.

Sementara itu, pengasuh terbabit ketika ditemui di Bilik Mayat HGM, berkata mangsa baru boleh berjalan dan dia tidak menyangka tragedi terbabit berlaku.

Katanya, dia sentiasa mengawasi pergerakan Aamina Inayah, tetapi ketika itu mungkin terlalai apabila tidak menyedari dia keluar ke garaj kereta.

“Biasanya bapa bayi itu datang mengambilnya pada 5.15 petang setiap hari, dan saya amat sedih dengan kemalangan itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 10:56pm
d