utama

'Saya terharu'

Oleh Noriza Sainal

Di sebalik kejayaan lelaki pasti ada wanita di belakangnya. Begitu juga wanita, sentiasa ada lelaki di sisinya memberi sokongan.

Begitulah gambaran yang dapat dilihat menerusi keharmonian bahtera cinta yang dibina penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Menginjak usia 40 tahun pada 11 Januari lalu, pelantun lagu popular Anta Permana ini mengakui terharu di atas usaha suaminya meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya sangat terharu atas usaha suami meraikan hari kelahiran bersama keluarga, sanak saudara, rakan dan peminat.

“Terus terang saya memang tidak terbabit dan tidak tahu apa-apa mengenai perancangan majlis ini.

“Semua undangan dan pengurusan majlis diuruskan Datuk K, saya langsung tak tahu,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Siti menghadiahkan ibunya seutas gelang tangan emas dan turut meraikan hari kelahirannya bersama.

“Sebenarnya hari lahir ibu saya pada 31 Disember lalu tetapi pada masa itu saya sedang bercuti di Dubai”.

“Jadi di kesempatan ini, saya mahu memberikan kenangan kepadanya walaupun sebelum ini pernah menghadiahkan gelang.

“Ini kerana ibu seorang yang sederhana, jika saya belikan beg pun, dia hanya gemarkan yang biasa saja.

“Jadi, sempena hari bersejarah saya, saya hadiahkan ibu gelang emas,” katanya.

Suami sumber kekuatan

Keberatan berkongsi hadiah pemberian suami tercinta, Siti berkata masa dan kasih sayang yang diberikan suami adalah lebih utama.

“Masa, ruang dan kasih sayang yang tidak terhingga itu lebih bermakna daripada harta benda yang diberikan.

“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Lebih daripada cukup. Allah juga memakbulkan impian saya untuk memiliki Siti Aafiyah. Alhamdulillah.

“Selain itu, baru-baru ini suami bawa saya bercuti ke Dubai bersama keluarga. Itu juga salah satu hadiah bermakna,” katanya yang tak lekang senyuman manis.

Menurut Siti, suaminya sangat prihatin dan sentiasa mengambil berat dalam semua aspek.

“Terima kasih kerana membahagiakan saya. Dia sentiasa mengambil berat mengenai diri saya dalam setiap sudut.

“Kejutan yang dilakukan ini adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Teruja jayakan konsert

Melanjutkan bicara mengenai konsert jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour bermula Mac ini, Siti berharap diberi kesihatan agar apa yang dirancang berjalan lancar.

“Saya sudah mula menjalani latihan awal bersama pemuzik minggu ini. Selain itu, semangat untuk mengadakan persembahan juga kian meluap-luap, lebih-lebih lagi selepas merakamkan program khas hari raya terbitan Astro baru-baru ini.

“Saya berdoa agar diberi kesihatan yang baik sepanjang konsert berlangsung,” katanya.

Berhubung perancangan membawa konsert jelajahnya ke London, England, Siti terlebih dulu mahu penganjur memberi fokus terhadap konsert di Indonesia, Singapura dan Malaysia.

“Kalau boleh, saya mahu fokus terhadap persembahan di tiga negara itu terlebih dulu.

“Kami akan putuskan mengenai persembahan di London selepas konsert di Jakarta selesai,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 9:46am
d