utama

Rezeki kot bundle [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

UMPAMA rezeki terpijak apabila seorang peniaga menemui wang tunai sebanyak 550,000 yen (RM20,755.84) ketika membuka guni bundle di kedainya di Kampung Tualang Salak, Jelawat, Bachok, kelmarin.

Penjual berkenaan, Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, berkata, dia terkejut apabila menemui wang berkenaan jam 8 malam.

Katanya, dia membeli dua guni bundle di sebuah gudang diWakaf Bharu, Kelantan, Sabtu lalu dengan harga masing-masing RM50 dan membawanya pulang ke kedai.

“Saya membuka guni berkenaan untuk disimpan memandangkan saya akan membuka kedai bundle dalam masa terdekat sebelum menemui beg duit warna hitam di dalam kot.

“Saya terkejut melihat wang tunai yang terlalu banyak dan membuat kiraan sebelum mengambil gambar dan memuat naik di Facebook (FB) 9.20 malam kelmarin,” katanya ketika ditemui di Wakaf Bharu, hari ini.

Kisah penemuan wang tunai 550,000 yen menjadi viral selepas Wan Mohamad Adam memuat naik di FB miliknya, jam 9.20 malam.

Mengulas lanjut, Wan Mohamad Adam berkata, penemuan wang itu adalah rezeki buatnya selepas membeli lebih 10 guni bundle sejak sebulan lalu.

Katanya, dia juga tidak menemui identiti pemilik wang itu kecuali hanya satu beg duit bersama sehelai kot.

“Sejak memuat naik di FB pelbagai reaksi yang diterima apabila orang ramai mahu membeli beg duit dan kot berkenaan. Namun, saya tidak akan menjual barangan itu kerana ia adalah pembuka rezeki.

“Wang itu akan saya gunakan untuk membuat modal bagi membesarkan perniagaan bundle.

“Saya sudah menukar wang berkenaan sebanyak 450,000 yen (RM16,800) dan bakinya akan disimpan untuk kenangan,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 12:25pm
d