utama

David, Anggun & Jay cari kelainan

Oleh Georgie Joseph

PROGRAM pencarian bakat popular, Asia’s Got Talent (AGT) kembali lagi untuk musim ketiga. Memburu bakat dari 17 negara seluruh Asia, kehebatan program itu jelas menjadi platform yang berjaya mengubah nasib ramai individu di rantau ini.

Bakal memulakan siaran pada 7 Februari, setiap Khamis, jam 8.30 malam menerusi saluran AXN Asia (Astro 701/721), program dihoskan Alan Wong dan Justin Bratton itu terus mengekalkan David Foster, Anggun dan Jay Park selaku juri tetap.

Apa yang pasti, tiga juri terbabit sudah tidak sabar melihat bakat luar biasa peserta dari Asia. Mereka teruja menantikan kelainan selepas dua pemenang musim terdahulu begitu mengagumkan.

Dalam tempoh 10 minggu, setiap peserta yang hadir uji bakat bakal dinilai sama ada layak untuk ke pusingan seterusnya iaitu separuh akhir sebelum beraksi di pentas akhir.

Sepanjang proses ini, banyak kriteria akan dinilai mereka.

Bukan setakat berbakat, peserta juga perlu tampil dengan identiti dan kelainan tersendiri.

Paling penting, peserta AGT3 mampu mempersembahkan sesuatu yang jauh lebih hebat berbanding persembahan musim sebelum ini.

David, Anggun dan Jay ketika ditemui RAP baru-baru ini, mengakui ada kriteria peribadi yang mereka ingin lihat pada peserta kali ini.

Memandangkan AGT3 sudah menjadi perhatian seluruh dunia, mereka berharap bintang sebenar mampu dilahirkan.

DAVID TAK LAYAN KISAH SEDIH

BAGI penerbit muzik ikonik dunia ini, David mahu melihat peserta yang mampu menggegarkan pentas bukan dengan kisah peribadi sebaliknya kekuatan persembahan.

Menurutnya, cerita mengenai latar belakang kehidupan yang sedih bukan jaminan untuk membeli jiwa mereka. Peserta kena faham program itu satu pertandingan yang menitikberatkan kehebatan bakat serta bukti kerja keras.

“Saya tidak mahu lagi dengar alasan peserta yang mengatakan kehidupan mereka penuh ranjau sejak kecil. Cerita mereka terpaksa bekerja keras sejak kecil dengan harapan mampu menagih simpati kami.

“Tidak sama sekali! Bukankah itu yang perlu dilakukan setiap manusia apabila sejak kecil kena pergi sekolah misalnya untuk berusaha keras kemudian mencari kerja demi meneruskan kehidupan? Itulah dinamakan kelangsungan hidup.

“Apa yang kami mahukan adalah peserta kena buktikan bakat mereka melebihi segala-galanya. Bahawa mereka mengagumkan dan layak bertanding sehingga ke peringkat seterusnya,” katanya.

David turut berpendapat konsisten bukan kunci utama dalam pertandingan itu.

Baginya, setiap peserta perlu tampil dengan persembahan yang jauh lebih hebat daripada persembahan di pusingan sebelumnya.

“Kami mahu melihat sesuatu yang lebih hebat andai peserta itu layak ke pusingan seterusnya. Dari situlah kami boleh menilai siapa yang sebenarnya bersungguh-sungguh mahu mengejar kemenangan,” katanya.

ANGGUN IDAM PERSEMBAHAN MENYENTUH DAN BERINSPIRASI

PENYANYI bertaraf antarabangsa dari Indonesia, Anggun pula berharap peserta mampu tampil dengan persembahan yang mampu menyentuh seluruh dunia.

Menyedari kuasa program itu berjaya menakluk ramai pengikut seluruh dunia, dia berharap peserta kali ini juga mampu mencetuskan inspirasi.

“Saya selalu inginkan peserta atau sebuah persembahan yang mampu menyentuh hati ramai. Dengan persembahan demikian, pastinya mudah untuk peserta itu diingati dan menjadi perbualan seluruh dunia.

“Lihat saja apa yang berjaya dilakukan peserta musim terdahulu seperti Sacred Riana. Disebabkan keunikan persembahannya, video uji bakat peserta itu berjaya mencipta rekod mendapat jutaan tontonan seluruh dunia,” katanya.

Anggun juga bersyukur apabila peserta nampaknya semakin menyedari nasihat yang diberikan juri mesti diambil serius. Dia berharap peserta musim ini turut menjadikan nasihat mereka sebagai panduan penting.

“Tidak dinafikan, ramai peserta memang mengambil serius nasihat kami dan itu sebenarnya sangat berguna. Mereka kembali dengan persembahan seterusnya mengikut nasihat yang kami beri.

“Sekali gus, itu membuktikan mereka sememangnya sangat serius dan mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri. Meskipun kadang-kadang nasihat kami mungkin tidak tepat, bagaimanapun, ia mampu membantu peserta untuk melipatgandakan usaha mereka,” katanya.

JAY MAHU PENYANYI RAP JADI JUARA

SELAKU ikon, penerbit, pengamal dan penyanyi muzik hip hop, Jay pula berharap akan ada bakat rap yang mampu menjulang gelaran juara dalam AGT3.

Menurutnya, dia belum berkesempatan untuk melihat penyanyi rap bersinar dalam program berkenaan. Padahal, dia mengakui Asia sebenarnya memiliki ramai bakat rap yang sangat luar biasa.

“Besar impian saya untuk melihat bakat yang mempertaruhkan hip hop menjadi juara dalam AGT. Saya bercakap mengenai penyanyi rap dan bukannya daripada segi bakat tarian hip hop.

“Saya percaya penyanyi rap dari Asia sebenarnya ramai yang sangat hebat. Bagaimanapun, impian itu nampaknya belum kesampaian dan tiada lagi penyanyi rap yang tampil mencuba nasib,” katanya.

Dalam pada itu, Jay yang semakin sibuk dengan kerjayanya di Amerika Syarikat turut memberi bayangan mungkin tidak kembali dalam program itu pada musim seterusnya.

“Ada lagikah musim akan datang? Untuk berada dalam program menuntut komitmen yang sangat tinggi.

“Dengan kesibukan berganda dalam karier muzik dan kena menempuh perjalanan kapal terbang yang lama, saya masih berfikir,” katanya.

AGT terus menjadi program pencarian bakat pilihan penonton seluruh Asia selepas kejayaan luar biasanya. Terdahulu, kumpulan penari dari Filipina iaitu El Gamma Penumbra dan ahli magis, Sacred Riana (Indonesia) dinobatkan juara musim pertama dan kedua.

Juara program itu bakal menerima wang tunai berjumlah RM4 juta.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 6:00am
d