utama

Hukuman bapa durjana

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein dan Ahmad Ismail

BAPA dihukum penjara 20 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Segamat, hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU), tahun lalu.

Hakim Rashidah Roslee menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 51 tahun itu menukar pengakuannya daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun (ketika kejadian) di rumahnya Segamat, antara Januari hingga 10 Mac 2018.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu melakukan amalan seksual fizikal ke atas mangsa di rumah sama, jam 6.45 pagi, 11 Mac 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama dan 10 tahun penjara bagi pertuduhan kedua, namun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 20 Mac 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan suspek diketahui seorang lagi anak perempuannya yang juga kakak mangsa selepas dimaklumkan guru bahawa adiknya yang juga pelajar pendidikan khas tidak hadir ke sekolah.

Dia kemudian ke rumah suspek dan terus masuk ke bilik mangsa sebelum melihat suspek sedang menindih badan mangsa dalam keadaan hanya memakai seluar pendek.

Mangsa memberitahu kakaknya, bapa mereka sering melakukan perbuatan itu dan dia syak adiknya dirogol suspek.

Mangsa dikatakan tinggal bersama bapanya dan seorang lagi adik lelaki berusia 10 tahun selepas ibu mereka meninggal dunia sejak kecil.

Hasil pemeriksaan interim di Hospital Segamat mendapati terdapat koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 4:02pm
d