utama

'Mudah urus jenazah walau berbeza agama'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

“MUDAH menguruskan jenazah walaupun keluarga si mati hanya mendapat tahu ayah mereka sebenarnya seorang mualaf pada hari dia meninggal dunia, baru-baru ini,” kata Presiden Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

Muhamamad Rafieudin berkata, si mati yang dikenali sebagai Muhammad Abdullah, 60-an, itu dikesan seorang Islam selepas semakan rekod dilakukan pihak Hospital Serdang.

Katanya, Allahyarham memeluk Islam pada 1982 dan keluarganya langsung tidak mengetahuinya berikutan si mati beramal dengan ajaran Islam secara senyap-senyap.

“Sepanjang proses itu, daripada seawal menerima panggilan untuk menguruskan jenazah semuanya mudah termasuk anak si mati sendiri yang sanggup turun ke liang lahad untuk mengebumikan ayahnya, walaupun mereka menganut agama lain.

“Ahli keluarga memberi kerjasama baik dan berbeza dengan kes jika waris si mati tidak menerima hakikat pengislaman si mati hingga terjadi kes perebutan.

“Tetapi tidak dengan ahli keluarga si mati ini, walaupun mereka tidak tahu bapa mereka memeluk Islam,” katanya ketika ditemui di Taman Melati Utama, Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, tular di media sosial termasuk Facebook (FB) mengenai kisah keluarga bukan Islam yang bekerjasama baik dalam urusan pengebumian ayah mereka hingga mendapat perhatian netizen.

Dalam tulisan Timbalan Setiausaha SPJM, Nor Alif Akram Kasani berkata, keluarga si mati mengagumi urusan pengebumian mayat orang Islam yang mudah dan tidak membebankan berbanding cara bukan Islam.

“Anak si mati menjelaskan untuk tanah pengebumian saja kos hampir RM100,000 diperlukan dan itu tidak termasuk majlis membabitkan kos untuk menyediakan makanan, upah orang sembahyang, replika rumah dan duit, selain keranda dan pakaian si mati.

“Kalau yang tidak berkemampuan, kebiasaannya keluarga si mati membakar mayat dan abunya disimpan dalam bekas seperti tin dan akan dibuang di laut.

“Jika abunya hendak simpan di kawasan perkuburan, keluarga perlu bayar kos lot berharga RM30,000. Bahkan setiap bulan perlu membayar kos utiliti seperti kos pencucian kawasan simpanan abu,” katanya.

Selain itu, katanya, berlaku kesukaran untuk menguruskan mayat ketika cuti umum dan bagi agama mereka, pengurusan mayat adalah satu perniagaan besar.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 4:15pm
d