utama

Kenya mandi darah

Oleh Agensi

NAIROBI: Saksi yang terselamat dalam serangan di sebuah kompleks perniagaan di bandar ini melihat mayat berkecai dan bergelimpangan di atas meja makan selepas beberapa militan melepaskan tembakan rambang dan membaling bom tangan ke arah orang awam.

Empat penyerang yang bersenjatakan raifal automatik menyerbu masuk ke kompleks yang turut menempatkan sebuah hotel mewah di sini, kelmarin dan melepaskan tembakan rambang sebelum seorang lagi penyerang meletupkan bom yang dipakainya.

Sekurang-kurangnya 15 mangsa yang terbunuh termasuk dua warga asing dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Somalia, al Shabaab itu.

Serangan itu dilaporkan bermula pada jam 3 petang (waktu tempatan) terhadap kompleks 14 Riverside Drive yang menempatkan sebuah hotel mewah DusitD2, bank dan pejabat.

Seorang penyerang yang memakai tali pinggang hijau yang penuh dengan bom tangan dirakam kamera keselamatan meletupkan beberapa buah kereta sebelum menyerbu masuk ke kompleks berkenaan.

Pada masa yang sama sebuah bom kereta turut meletup di luar sebuah bank.

Seorang penyerang meletupkan dirinya di lobi hotel manakala tiga lagi membaling bom tangan dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai yang melarikan diri serta ada yang berlindung di bawah meja.

Seorang pekerja yang selamat, Charles Njenga berkata, keadaan ketika itu sangat menakutkan dan dia melihat cebisan daging manusia bertaburan di lantai.

Geoffrey Otieno yang bekerja di sebuah salun kecantikan di kompleks itu berkata, dia mendengar bunyi letupan dan cermin pecah.

“Kami semua bersembunyi hingga diselamatkan,” katanya.

Pekerja restoran John Maingi terkejut apabila melihat cahaya terang dan bunyi letupan serta tembakan di luar bangunan.

“Apabila mengintai keluar, saya melihat ada kaki manusia yang terputus. Saya juga melihat beberapa mayat berada di kerusi makan.

“Kami bersembunyi di dalam bilik sebelum anggota polis datang membawa kami keluar,” katanya.

Pasukan khas tentera Nigeria mengepung kompleks berkenaan sebelum pasukan khas menyerbu masuk untuk memburu semua penyerang berkenaan yang berkubu di bangunan berkenaan.

Pegawai berkata, kompleks itu berjaya dikawal semula pada jam 11 malam (waktu tempatan).

Bagaimanapun, terdapat laporan bunyi tembakan kedengaran semula pada jam 2 pagi dan dua jam kemudian ketika pihak berkuasa menyelamatkan orang awam yang terperangkap dalam bangunan berkenaan.

Selepas lapan jam serangan berlaku, Menteri Dalam Negeri Fred Matian’i berkata, semua bangunan dalam kompleks berkenaan berjaya dikuasai semula.

“Saya ingin menegaskan bahawa situasi kini terkawal dan negara berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 4:30am
d