utama

Pokai main bola [METROTV]

Oleh Aizat Sharif dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Demi sesuap nasi dan tidak mahu keluarga kebuluran pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL2) sanggup mengetepikan rasa malu untuk mencari rezeki dengan melakukan apa saja pekerjaan selagi puncanya halal.

Malah, mereka turut meluahkan kekecewaan selain menyesal selepas niat baik untuk menabur bakti di negeri sendiri bertukar mimpi ngeri apabila kini terpaksa hidup berjimat cermat akibat hilang mata pencarian.

Penyerang PNL2, Nashrul Shazrin Roslan, 27, yang pernah beraksi bersama Felcra FC pada 2017 kini bekerja sebagai nelayan sambilan di Kompleks Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis.

Menurutnya, dengan gaji maksimum RM50 sehari, dia terpaksa berjimat-cermat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Namun pada masa sama dia masih berharap pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) melunaskan tunggakan gajinya hampir RM20,000.

“Memang rasa menyesal balik Perlis. Kalau saya tahu nak jadi begini pasti saya tak balik dan tidak berhadapan kemelut gaji.

“Dulu sewaktu beraksi bersama Felcra FC, mereka (PFA) memujuk supaya pulang berbakti di negeri kelahiran sehingga sanggup mengenepikan tawaran pasukan lain.

“Siapa sangka, rupa-rupanya janji ditabur hanya sekadar janji dan sehingga kini, jangan kata baki gaji tertunggak, bayaran bersama pengurusan baharu pun belum dapat,” katanya ketika ditemui di tempat kerjanya di sini, semalam.

Nashrul berkata, niat baik ingin berbudi di negeri sendiri menjadi sebaliknya apabila mendakwa mereka dianaktirikan.

“Sekarang saya semakin runsing kerana sudah sebulan tidak ke laut, jumlah tangkapan pula makin kurang.

“Adakalanya tangkapan hanya sederhana, tak kurang balik dengan tangan kosong, Jadi tauke kena kurangkan tenaga kerja.

“Sekarang saya cuma membantu rakan di pelantar bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya yang berasal dari Kuala Perlis.

Sementara itu, Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, berkata, dia kini menyara keluarga dengan bekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan.

“Cukuplah sekadar lepas makan minum saya dan isteri daripada mengharapkan janji PFA,” katanya.

“Kami sudah penat dengan janji mereka (PFA), sudah-sudahlah mengaburi mata peminat seolah-olah kami yang bersalah.

“Selesaikan sahajalah gaji tertunggak kami dan tak perlu ini semua (kenyataan melalui media),” kata pemain pertahanan itu.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 10:00am
d