utama

Haneesya hilang gelaran Dewi Remaja

Oleh Syafil Syazwan Jefri

“KITA sebagai manusia, tidak lari daripada membuat salah. Semua orang patut dapat peluang kedua,”.

Itu luahan bekas juara program realiti Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee di majlis sidang media penarikan semula gelaran juaranya yang berlangsung di Shah Alam, hari ini.

Di majlis itu, Haneesya, 19, diminta mengembalikan semula mahkota, selempang serta trofi kemenangannya dan mengakui kesilapannya itu.

“Saya meminta maaf sedalam-dalamnya. Saya akui, ia adalah kesilapan bodoh saya dan saya sendiri tak menjangkakan kesannya sebesar ini,” katanya.

Haneesya juga meminta supaya dia diberikan masa beberapa hari untuk menenangkan fikiran.

“Beri saya beberapa hari untuk tenangkan diri dan fikiran,” katanya.

Editor majalah Remaja, Faiz Aiman, mewakili pihak penganjur program realiti itu berkata, mereka tidak berkompromi dengan isu itu.

“Apa yang berlaku membabitkan reputasi majalah Remaja, jenama Dewi Remaja dan pihak penganjur, Nu Ideaktiv. Kami sangat kesal dengan insiden yang berlaku,” katanya.

Faiz berkata, tidak akan ada pemenang menggantikan kejuaraan Haneesya.

“Tiada sesiapa akan menggantikan gelaran Dewi Remaja 2018/2019. Pemenang tempat kedua dan ketiga akan kekal di kedudukan mereka.

“Finalis lain akan terus mewakili Dewi Remaja 2018/2019 untuk apa-apa aktiviti atau acara mengikut keperluan di masa akan datang,” katanya.

Isu itu timbul selepas video berdurasi lapan saat tular di media sosial, menunjukkan Haneesya dan beberapa teman dari program sama berada di kelab malam dan memegang minuman.

Sejak tular beberapa hari lalu, ramai netizen yang mengecam kehidupan Haneesya dan mempertikai kemenangannya yang dianggap tidak layak digelar sebagai ikon kepada remaja.

Berita berkaitan:Haneesya enggan komen

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 4:43pm
d