utama

Masih munasabah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Harga makanan dijual di kantin sekolah di negeri ini masih munasabah dan mampu dibeli murid serta pelajar.

Tinjauan di kantin Madrasah Al-Atas Alarabiah Johor di Ulu Tiram di sini, semalam mendapati, menu sarapan disediakan kepada pelajar tingkatan satu hingga enam dijual pada harga berpatutan.

Bahkan pelajar yang ditemui mengakui tidak dibebani dengan kenaikan harga makanan kerana dijual pada harga sama oleh pengusaha kantin yang sudah dua tahun beroperasi.

Pelajar, Umairah, 15, berkata, dia tidak berdepan isu kenaikan harga makanan yang dijual pengusaha kantin.

“Alhamdulillah, setakat ini kami tidak berdepan masalah kenaikan harga makanan di kantin kerana dijual pada harga sama.

“Contoh, nasi goreng dan mi goreng dijual pada harga RM1.50 sepinggan, manakala minuman bergantung kepada jenis iaitu RM1 hingga RM2,” katanya.

Seorang kakitangan sekolah itu turut mengakui harga makanan juga berpatutan dengan sekali makan termasuk minuman hanya RM7 hingga RM8.

“Pada saya, harganya masih memuaskan kerana hidangan seperti nasi, sayur, ikan atau ayam dan air dijual antara RM7 hingga RM8,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri Aminolhuda Hassan berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Beliau berkata, isu makanan kantin mahal hanya diterima di peringkat pusat, namun pihaknya memandang serius jika perkara itu berlaku.

“Sehingga kini tiada aduan diterima (kenaikan harga makanan kantin) di sekolah di negeri ini.

“Jika ia berlaku, semakan semula perjanjian perlu dilakukan antara pengusaha kantin dan pentadbir sekolah berdasarkan tender dipersetujui sebelum ini,” katanya pada sidang media di Majlis Pengumuman Analisis Pencapaian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di madrasah berkenaan.

Beliau berkata, pengurusan sekolah sepatutnya melihat perbandingan harga sebelum tender diberikan kepada pengusaha kantin.

“Sepatutnya (pihak pentadbir sekolah) melihat perbandingan harga tahun lalu sama ada terdapat kenaikan harga atau sebaliknya ketika tender dibuka.

“Sekiranya tidak menepati perjanjian sebut harga dipersetujui bersama kedua-dua pihak, maka sewajarnya perlu mengikut apa dijanjikan,” katanya.

Menurut beliau, tidak wajar pengusaha kantin menaikkan harga makanan sedangkan mereka sudah mempunyai pelanggan tetap yang ramai berbanding pengusaha warung.

“Pengusaha kantin sudah tentu mempunyai pelanggan tetap tidak seperti warung yang perlu menunggu pelanggan untuk masuk kedai mereka.

“Apabila sudah ada pelanggan tetap dengan bilangan pelajar bagi setiap sekolah menjangkau 500 hingga 1,000 murid atau pelajar, sepatutnya boleh beri harga munasabah,” katanya.

Menurut beliau, dengan mengambil kira kos sewaan yang rendah, sepatutnya pengusaha kantin perlu memberikan harga dan perkhidmatan terbaik.

“Saya ingin mengingatkan kepada pengusaha kantin supaya buat yang terbaik, sajikan makanan yang sedap, harga berpatutan kerana makanan itu bukan saja dinikmati murid dan pelajar tetapi lauk dimasak dibawa pulang guru,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 7:50am
d