utama

'Tangkal' turun-temurun

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “Tangkal pelaris menjadi kepercayaan segelintir mereka (peniaga) secara turun-temurun dan sesetengahnya didapatkan daripada pemilik asal perniagaan,” ujar seorang pengusaha restoran di Tebrau yang enggan namanya didedahkan.

Dia yang ditemui wartawan semalam berkata, masih terdapat pemilik pelbagai jenis perniagaan selain pengusaha restoran menggunakan tangkal dan azimat sebagai pelaris menarik pelanggan selain bagi tujuan keselamatan premis perniagaan.

Menurutnya, ada segelintir peniaga yang mendapatkan tangkal itu terus daripada negara India manakala sesetengahnya daripada individu tempatan.

Katanya, selain azimat, sesetengah pemilik perniagaan juga menggunakan limau, air dijampi, jarum dan pelbagai barangan lain sebagai pelaris perniagaan.

“Setiap pelaris yang digunakan selalunya dibeli. Malah kerana terlalu mempercayainya (tangkal) pemilik restoran sanggup membelanjakan ratusan ringgit.

“Ada yang digantung secara terbuka di penjuru kedai, dinding dan sebagainya namun ada yang disimpan di tempat rahsia kerana ia menjadi pantang larang.

“Saya menyokong tindakan penguat kuasa menjalankan serbuan terhadap premis yang menggunakan pelaris di Johor Bahru baru-baru ini. Ia sekurang-kurangnya memberi kesedaran kepada pemilik premis lain yang beragama Islam supaya tidak melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Saya mengusahakan lima restoran mamak sejak 2008 dan berpendapat bahawa terdapat empat petua perniagaan lebih penting bagi memajukan perniagaan iaitu makanan sedap, layanan baik, harga berpatutan dan kebersihan premis. Tak perlu bergantung pada pelaris khurafat ini,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya berharap anggota berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum melakukan serbuan.

Katanya, ia berikutan serbuan berdasarkan maklumat kurang tepat atau fitnah boleh menjejaskan operasi restoran.

“Apabila serbuan dilakukan, pelanggan akan menyangka restoran diperiksa itu bermasalah biarpun penguat kuasa hanya tampil melakukan pemeriksaan rutin.

“Lebih mengecewakan jika maklumat atau fitnah tular boleh melumpuhkan perniagaan dan menjatuhkan imej. Bagi pemilik perniagaan yang masih menggunakan pelaris, mereka seharusnya meninggalkan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor (PERUSIM) berkata, 60 wakil persatuan berkenaan akan berkumpul bagi membincangkan isu berkenaan dan mengadakan sidang media hari ini.

Menurutnya, perjumpaan itu membabitkan pemilik restoran mamak, kedai runcit dan pelbagai jenis perniagaan di seluruh Johor.

“Serbuan yang dijalankan penguat kuasa di sebuah restoran di Johor Bahru yang mendapati ada peniaga menggunakan tangkal dan pelaris menjejaskan imej restoran mamak secara keseluruhannya.

“Kami akan membincangkan perkara berkenaan dan pelbagai implikasi yang timbul kesan isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Johor, kelmarin, sebuah restoran mamak yang beroperasi hampir 18 tahun di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, dikesan menggunakan lebih 30 tangkal dan azimat sebagai ‘pelaris’ jualan.

Kegiatan menyalahi akidah itu terbongkar hasil serbuan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa terhadap premis berkenaan bermula jam 2 petang.

Lebih mengejutkan, semua azimat yang mengandungi ayat jawi yang tidak jelas maksudnya digantung dalam pelbagai bentuk termasuk bingkai gambar, bunjut, botol dan batu berikat dibawa masuk dari India serta di pasang di setiap penjuru kedai.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 8:26am
d