utama

Kakitangan SADA hilang ditemui maut

Oleh Nor Farhani Che Ad

KAKITANGAN Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak Rabu lalu ditemui maut akibat kemalangan di Jalan Kulim-Serdang, Kulim hari ini.

Mayat Muhammad Amir Abdullah, 25, ditemui jam 1 tengah hari selepas dia keluar dari rumah ibunya di Kampung Becah Sawa, Mukim Siong, Baling Selasa lalu untuk ke tempat kerja di Alor Setar.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat dihubungi ahli keluarga sejak Rabu lalu, sebelum kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandu mangsa ditemui orang awam di dalam gaung tepi jalan.

Abang mangsa, Mohammad Hafiz, 32, berkata, kenderaan 4WD yang dipandu arwah adiknya adalah miliknya yang dipinjam selepas kenderaan mangsa mengalami kerosakan.

“Selasa lalu, arwah beritahu saya hendak pinjam kereta yang diletak di rumah emak dan arwah janji pulangkan pada Rabu selepas pulang dari kerja.

“Namun pada Rabu dia masih tidak pulang ke rumah menyebabkan emak dan kami adik beradik menghubunginya banyak kali tetapi tidak dapat sebelum adik ditemui terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Katanya, pelbagai usaha mencari mangsa dilakukan termasuk bertanyakan rakan sekerja serta majikannya, namun mereka menyatakan adiknya itu tidak datang ke tempat kerja sejak Rabu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa dipercayai maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke curam bukit.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa memandu dari arah Serdang ke Kulim.

“Kemalangan dipercayai berlaku pada awal pagi Rabu lalu apabila kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke curam bukit.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, punca kematian masih belum dikenalpasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 7:32pm
d