utama

'Pokai' sambut anak

Oleh Helmy Abd Rahman

Kuala Terengganu: Dihalau dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa dan menyambut kelahiran anak dengan ‘poket kosong’ antara cabaran getir yang terpaksa ditempuh beberapa pemain Terengganu City FC (TCFC) apabila gaji mereka tidak dibayar pengurusan pasukan musim lalu.

Dua insiden menyedihkan berkenaan adalah antara keperitan yang ditanggung pemain TCFC dan perkara terbabit didedahkan bekas pemain tengah, Shafuan Adli Shaari.

“Ajaibnya, kami masih mampu berjuang bermati-matian dalam saingan Piala FAM musim lalu sehingga bergelar juara.

“Memang perit apabila ada beberapa pemain bujang dalam pasukan kami dihalau dari rumah kerana tidak membayar sewa dan ada yang tak ada duit untuk isi minyak motosikal untuk datang latihan.

“Paling sedih apabila ada pemain yang terpaksa berada dalam bilik bersalin untuk menyambut kelahiran anak dalam keadaan ‘pokai’.

“Tapi semangat untuk melihat pasukan melangkah jauh dalam Piala FAM, kami lupakan seketika keperitan yang dialami,” katanya yang kini menjadi pemain dan penolong jurulatih pasukan Mahkota Pahang FC yang berpangkalan di Kuantan, Pahang.

Difahamkan, setakat ini, TCFC masih belum melunaskan tunggakan gaji jurulatih dan pemain pasukan yang berjumlah kira-kira RM1 juta.

Shafuan yang pernah menyarung jersi Perlis dan Sabah turut mendakwa TCFC masih belum melunaskan bayaran keseluruhan gajinya yang sudah mencecah RM50,000.

“Malah gaji pada musim 2017 juga masih ada yang belum dibayar.

“Mujur saya anak jati Terengganu dan masih ramai keluarga di sini, jadi tidaklah merana sangat seperti yang lain,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dalam pertemuan antara pemain, jurulatih, pemilik dan penaja bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah awal Disember lalu, pemilik pasukan berjanji akan membayar tunggakan gaji mereka dalam tempoh dua minggu.

“Tapi sekarang sudah lebih sebulan, habuk pun tak ada,” katanya.

Katanya, dia amat berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera kerana hampir keseluruhan pemain tidak mempunyai pendapatan lain.

“Kami sudah bantu menaikkan pasukan dan berjuang bermati-matian sehingga muncul juara Piala FAM, hargailah pengorbanan kami.

“Tak tahulah apa masalahnya sama ada ia salah penaja atau pemilik tapi yang pasti, kami pemain dan jurulatih yang jadi mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 8:03am
d