utama

'Team bola negara perlu ada DNA sendiri' [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

Skuad Harimau Malaya mengalami tahun yang penuh suram dan gelap sepanjang 2017 apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam semua perlawanan persahabatan kelas A dan Kelayakan Piala Asia 2019 di bawah kendalian Nelo Vingada.

Namun selepas peletakan jawatan jurulatih berbangsa Portugal itu pada 6 Oktober 2017, ‘awan hitam’ yang menyelubungi skuad negara akhirnya berarak pergi apabila keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menamakan Tan Cheng Hoe sebagai pengganti Nelo nyata tepat.

Kehadiran Cheng Hoe, 51, jelas membawa perubahan besar kepada skuad kebangsaan apabila berjaya memperagakan aksi menarik terutamanya dalam kempen Piala AFF 2018 yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara di belakang Vietnam.

Kejayaan pantas itu akhirnya berjaya menambat hati Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) apabila melanjutkan lagi kontraknya sehingga penghujung 2020.

Ikuti luahan bekas jurulatih terbaik Liga Malaysia 2016 itu ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya bersama wartawan Firdaus Hashim.

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang bermula sebagai pemain hingga bergelar ketua jurulatih skuad Harimau Malaya?

Saya berasal dari Alor Setar. Kalau kira itu, saya dibesarkan di Kampung Gunung Keriang dan boleh kata saya ini budak kampung. Sejak dari sekolah lagi dah main bola bersama kawan-kawan di kampung. Dari situ saya dapat mewakili sekolah sebelum diserapkan mewakili daerah dan juga negeri Kedah untuk skuad bawah 18 tahun.

Selepas itu saya pun bermain untuk pasukan Kedah bawah 21 dalam Piala Presiden. Pada 1989, FAM ketika itu memperkenalkan Liga Malaysia secara semi profesional dan saya bertuah dapat ditawarkan oleh arwah Datuk Ahmad Basri sebagai pemain kontrak. Dari situ bermula karier saya bermain bola sepak profesional dan dalam jangka masa itu banyak kejayaan kenangan bersama pasukan Kedah.

Pada 1996, saya juga pernah main untuk Perlis, Pulau Pinang pada 1997, pasukan Kuala Lumpur pada 1998 dan Kelantan pada 1999, kira banyak juga merantau dan ia saya anggap suatu cabaran kerana pada 1992 saya pernah buat pembedahan ACL pada lutut yang agak serius.

Lebih kurang dua tahun saya senyap sebelum bangkit kembali untuk cari pengalaman baru bermain dengan negeri lain.

Lagipun Kedah ketika itu berada pada tahap terbaik dan bukan mudah untuk masuk ke skuad Kedah. Pada 2000 saya balik semula dengan Kedah dan bermain dua tahun sebelum dapat panggilan sebagai penolong jurulatih.

Bermula dari situ saya jadi pembantu jurulatih kepada Jorgen Larsen hingga 2004. Dari 2005 hingga 2006 saya menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden Kedah.

Selepas itu, pada 2005 saya dapat panggilan daripada Datuk K Rajagobal untuk jadi pembantu dalam skuad bawah 19 tahun negara yang juga batch Aidil Zafuan, Safiq Rahim, Asraruddin Putra Omar dan Nasriq Baharom. Dari situlah bermulanya saya dengan skuad kebangsaan. Sudah semestinya kenangan paling manis ketika menang pingat emas Sukan SEA pada 2009 dan kemudian juara Piala AFF 2010 dengan Datuk K Rajagobal. Kemudian saya terus kekal penolong jurulatih hingga 2013 sebelum kontrak kami tamat.

Pada pertengahan musim 2014, saya ditawarkan kontrak oleh Kedah sebagai ketua jurulatih. Pada masa itu Kedah bermain di Liga Perdana. Pada 2015 saya dapat kejuaraan dalam Liga Perdana dan pada 2016 kenangan cukup manis dapat menjuarai Piala Malaysia dengan Kedah.

Pada tahun itu juga, saya dapat anugerah jurulatih terbaik Malaysia, ia satu kejayaan terbaik. Untuk 2017 saya dapat bawa Kedah juara Piala Sumbangsih dan pada pertengahan tahun pada bulan Mei, saya sertai FAM sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada. Sudah semestinya saya ucapkan terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) kerana baginda yang beri peluang kepada saya bersama pasukan kebangsaan. Pada Disember 2017, TMJ sekali lagi melantik saya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Sepanjang tempoh 30 tahun bergelumang dalam arena bola sepak tanah air, adakah anda sudah berpuas atau masih ada lagi yang belum dicapai lagi?

Memang kerana minat mendalam bola sepak dan cinta kepada bola sepak, jadi setiap kejayaan itu memberi kita menjadi motivasi kepada kita untuk mendapat lagi banyak kejayaan kerana kalau kita tengok dari segi jurulatih dunia terbaik pun tidak akan berhenti di situ walaupun sudah banyak meraih kejuaraan.

Hujung tahun lalu, anda berjaya membawa pasukan muncul naib juara Piala AFF 2018. Mungkin ada sesuatu yang anda sasarkan secara peribadi ketika itu terutama untuk mengulangi pencapaian 2010 ketika di bawah kendalian Datuk K Rajagobal?

Memang ada sasaran peribadi yang saya letakkan dan kami berjaya muncul naib juara untuk Piala AFF tahun lalu. Mungkin belum capai apa yang saya hasratkan iaitu juara tapi, saya yakin pasukan akan bertambah baik lagi selepas ini dengan pasukan kena bekerja keras lagi untuk capai sasaran. Untuk 2019 ini saya ingin melihat pasukan main lebih baik dalam peringkat yang lebih tinggi iaitu Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Kontrak anda disambung dua tahun lagi. Malah, kejayaan mara ke final Piala AFF menyaksikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) makin tinggi dengan layak ke Piala Asia 2023 nanti. Mungkin anda merasai tekanan?

Saya rasa itu sebagai motivasi yang tinggi untuk saya. Saya kena fikir positif tentang pasukan dan saya rasa pemain-pemain juga kena fikirkan sedemikian. Walaupun kita bermain baik dalam Piala AFF ia bukan jaminan yang kita boleh layak ke pusingan akhir Piala Dunia (2022) atau layak terus main di Piala Asia (2023). Setiap hari kita kena tingkatkan prestasi, paling penting saya rasa pemain perlu dapat keyakinan dan perlahan-lahan kita boleh tingkatkan permainan kita.

Sekarang ini FAM sudah mula mengambil pemain naturalisasi dan ia membuahkan hasil apabila kehadiran Mohamadou Sumareh berjaya membawa impak berbeza. Komen anda?

Bagi saya, kalau kita nak ambil pemain naturalisasi pun tidak boleh terlalu ramai. Apa yang penting kekalkan anak tempatan. Ia cukup penting untuk perancangan jangka masa panjang skuad kita.

Tapi untuk jangka masa pendek saya kira ia banyak membantu pasukan kebangsaan. Paling penting pemain naturalisasi itu mesti ada potensi yang besar, jiwa yang besar dan sesuai dengan permainan kita serta boleh juga sesuaikan diri dengan pemain tempatan kita.

Anda dikenali antara jurulatih tempatan menekankan aspek permainan bola sepak moden dengan menggunakan hantaran pendek sebagai identiti falsafah anda. Atau adakah anda peminat gaya permainan ala tiki-taka?

Falsafah saya sudah tentunya saya gemarkan pasukan mengamalkan penguasaan bola yang lama dalam permainan. Jadi apabila kita nak menguasai bola, sudah tentu kita kena main dengan hantaran pendek, tapi kalau kita main hantaran jauh agak sukar untuk kita mengawal bola.

Kita memang kena ada satu identiti dan corak permainan Malaysia yang tersendiri, malah pemain juga gembira daripada mereka cepat penat guna hantaran jauh. Namun, adakalanya juga hantaran jauh ini kita tetap kena gunakan dalam perlawanan, tetapi seboleh-bolehnya kita kena kawal dengan baik tanpa melepaskan penguasaan begitu saja.

Pasukan mana yang anda gemari?

Saya tidak ada spesifik kelab, tetapi buat masa ini saya minat dengan corak permainan Manchester City di bawah kendalian Pep Guardiola dan juga Jurgen Klopp yang membimbing Liverpool.

Begitu juga Arsenal, Tottenham Hotspur dan juga Barcelona di La Liga. Itu semua pasukan yang mengutamakan penguasaan bola yang menyeluruh dalam permainan.

Malah, dari situ juga sebenarnya saya amat suka melihat Barcelona ketika dipimpin Guardiola dengan corak permainan yang beliau terapkan.

Adakah anda jadikan Pep Guardiola sebagai idola anda atau sebagainya?

Buat waktu ini, dari segi bola sepak moden beliau (Guardiola) adalah yang terbaik dari ketika menyerang, menjaringkan gol dan bertahan. Kalau ikutkan, masa beliau bersama Barcelona banyak kejuaraan diraih dan apabila ke Bayern Munich juga dapat pelbagai kejuaraan. Seperti yang selalu beliau sarankan juga, jika ingin capai kejayaan mesti ada pemain berkualiti. Baru boleh buat sesuatu.

Bagi anda, berapa tahun lagi Harimau Malaya perlukan untuk capai kedudukan selaku gergasi benua Asia?

Team negara perlu ada DNA sendiri dan saya percaya dengan pembangunan akar umbi yang baik kita boleh capai misi itu. Malah, perancangan Datuk Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) yang melancarkan F:30 yang juga perancangan jangka panjang pembangunan bola sepak negara memungkinkan kita muncul sebagai kuasa baharu di Asia nanti.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 9:00am
d