utama

Muzik tunjang hidup Lukas Graham

Oleh Georgie Joseph

MENJADI pemuzik bukanlah sekadar menyajikan lagu, meraih keuntungan jualan muzik, menempa nama ataupun mengecap populariti. Setiap pemuzik seharusnya menjadikan muzik sebagai tunjang hidup mereka.

Itulah ideologi band Lukas Graham dari Denmark yang dianggotai Lukas Forchhammer sebagai penyanyi utama, Mark Falgren (dram) dan Magnus Larsson (bass). Aspirasi utama mereka memperjuangkan muzik selama ini adalah untuk memperbaiki kehidupan.

Lukas melihat rendah hati juga menjadi aspirasi penting yang patut diteladani. Menurutnya, secara peribadi kepuasan dirinya datang daripada kejayaan berpegang kepada niat yang betul.

“Selama ini, aspirasi kami dalam penghasilan muzik adalah menjadikan kerjaya ini sebagai punca pendapatan dan mendapatkan kehidupan selesa. Saya membesar di rumah yang tiada bilik dan tandas.

“Ketika usia enam tahun, bapa tak mampu belikan kasut untuk saya. Namun, kini saya dapat beli kasut untuk anak perempuan.

“Prinsip saya mahu mengekalkan sikap rendah hati dan sentiasa berpijak di bumi nyata. Syukur, setakat ini saya berjaya melaksanakannya dengan sempurna.

“Tidak pernah bermimpi sekalipun kami akan dicalonkan dalam tiga kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Grammy. Apa lagi mendapat Anugerah Multiplatinum di Malaysia dan berkunjung ke negara ini,” katanya kepada RAP baru-baru ini.

Dalam pada kejayaan lagu 7 Years yang menjadi mega hit seluruh dunia, Lukas berkata mereka tidak pernah terasa hati dengan komen pendengar.

Menurutnya, sesiapa saja layak melontarkan pendapat. Tiada istilah silap menilai atau salah anggap dalam kamus hidup mereka jika membabitkan muzik.

“Sekali kita perkenalkan lagu, pendengar berhak untuk komen dan berikan pandangan. Pendapat mereka itu sahih, tiada soal betul atau salah.

“Kita bukan lagi tinggal dalam dunia yang objektif. Memang tidak patut pun mana-mana individu berfikiran seperti itu.

“Lagu 7 Years misalnya tidak pernah pun bawa maksud kesedihan. Lagu ini menceritakan mengenai proses seorang lelaki meningkat dewasa.

“Ia turut menyelitkan mesej kita perlu sentiasa ada impian yang besar. Asal usul jangan dilupakan dan lawan semua kata-kata daripada individu yang suka cakap kita tak mampu melakukan sesuatu perkara,” katanya.

Lukas juga berpendapat, pemuzik perlu sentiasa meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap lagu mereka. Tidak kira berapa lagu pun yang ditulis, setiap satunya mesti disayangi dan tidak dibazirkan.

“Kami sudah tulis banyak lagu. Album baru kami pun, ada 40 lagu ditulis namun hanya 10 dikeluarkan dan masih berbaki 30 lagu dalam simpanan.

“Sangat sayang kalau lagu dibazirkan apatah lagi jika ia sangat bagus.

“Terdahulu, album Blue mencipta kejayaan luar biasa di seluruh dunia manakala ada album lain kami yang kurang berjaya padahal ia secara peribadi sangat bagus di mata saya,” katanya.

Teruja makan durian dan manggis. Berkunjung buat pertama kali ke sini baru-baru ini, Lukas mengakui sangat tertarik dengan keunikan pelbagai makanan tempatan.

Menurutnya, sebaik tiba di Kuala Lumpur untuk sesi promosi album baru, mereka mencuba aneka juadah.

“Saya paling suka bab makan. Siapa boleh menolak untuk mencuba kelazatan makanan di tempat baru, bukan?

“Setibanya di sini, kami terus dibawa menikmati pelbagai jenis makanan tempatan termasuk masakan Cina, Melayu dan India.

“Saya secara peribadi sangat tertarik dengan buah-buahan eksotik yang terdapat di sini. Saya boleh ‘layan’ durian namun paling suka manggis,” katanya.

Kata Lukas, mereka juga terharu dengan sambutan luar biasa peminat di sini namun terkilan kerana kunjungan terlalu singkat.

“Saya tidak menyangka karya kami diterima dengan baik di Malaysia. Permintaan mengadakan konsert juga sangat tinggi dan kami berbesar hati jika ada peluang untuk kembali ke sini.

“Dalam kunjungan singkat ini kami hanya sempat menikmati keseronokan di Kuala Lumpur dan harap dapat menjelah seluruh Malaysia pada masa depan,” katanya.

Band itu bertandang ke ibu kota bagi mempromosikan album terbaru mereka berjudul 3 (The Purple Album). Pada 2017, Lukas Graham pernah mendapat tiga pencalonan di Anugerah Grammy.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 6:00am
d