utama

Peniaga kepala batu

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Masih terdapat peniaga melakukan penyembelihan dan memproses ayam secara terang-terangan di beberapa kedai dekat Pasar Borong Selayang di sini.

Tindakan itu nyata menyalahi peruntukan Undang-Undang Kecil (UKK) Pasar Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 2007 yang melarang aktiviti penyembelihan ayam dibuat di premis gerai selain di pusat penyembelihan dikhasnya.

Tinjauan mendapati kegiatan itu mengundang masalah dari segi kebersihan apabila sisa ayam dan darah dibiar di atas lantai dalam masa lama sebelum dibersihkan.

Selain itu, tahap kesihatan ayam yang dijual itu menimbulkan tanda tanya apabila ada yang disimpan di dalam bekas raga plastik kecil atau di dalam sangkar besi.

Keadaan itu, menyebabkan ayam terbabit kelihatan daif dan kotor terkena najis selain lemah kerana tidak diberi makan.

Tinjauan mendapati biarpun pekerja warga asing yang melakukan penyembelihan terbabit mengaku beragama Islam, proses penyembelihan dilakukan agak meragukan.

Ini termasuk, air panas diguna merendam ayam yang disembelih tidak diganti baru menyebabkan ia bertukar kepada warna hitam selain dipenuhi bulu.

Sementara itu, jurucakap Jurucakap MPS mengesahkan penyembelihan haiwan dilarang dilakukan di premis kedai dan akan meningkatkan penguatkuasaan bagi menanganinya.

Katanya, sekiranya didapati peniaga terbabit ingar, mereka boleh dikenakan kompaun mengikut UUK.

“Memang sembelihan haiwan termasuk ayam tidak boleh dibuat di dalam pasar atau kedai, sebaliknya mesti dibuat di pusat penyembelihan. Cuma, penguatkuasaan ada terlepas pandang menyebabkan ia berlaku.

“Untuk pasar atau kedai di bawah selian kita, MPS melantik kontraktor untuk tujuan pembersihan. Kita juga mengadakan operasi dan pemantauan berkala melalui Jabatan Kesihatan MPS.

“Contohnya, baru-baru ini kita mengeluarkan kompaun kepada peniaga di Pasar Rawang selepas didapati tidak menjaga kebersihan,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 8:37am
d