utama

Chef Wan mohon maaf

Oleh Syanty Octavia Amry

CHEF selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan tampil memohon maaf pagi ini, hari ini selepas dia mengeluarkan kenyataan kontroversi mahu menampar muka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Chef Wan menerusi laman Instagram (IG) miliknya berkata, dia mengakui kesilapanya itu yang membuat kenyataan dalam keadaan amat marah.

“To DS Najib pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana bahasa yang kasar saya gunakan di waktu saya merasa amat marah!

“Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri kita untuk mengaku kesilapan diri kita as I have done this morning. Yes saya mengaku saya silap bila dirasuk syaitan dan naik marah!,” katanya.

Menurut bapa kepada pelakon Serina Redzuawan itu, dia tidak mahu menjadi manusia yang tidak berterima kasih dengan tidak menghargai sumbangan Najib kepada negara ini.

Baginya, adalah adil sebagai ahli politik perlu berhadapan dengan semua kritikan secara terbuka dan rasa terhormat.

Dalam hantaran di media sosialnya itu, Chef Wan turut meminta penyokong Najib tidak menjadi batu api berhubung kenyataan yang dikeluarkan olehnya.

“Saya sudah buat silap dengan apa yang saya perkatakan semalam dan sekarang saya memohon maaf kepada Datuk Seri Najib dan itu sahaja!

“Saya akan terus memperjuangkan apa yang betul,” kata Chef Wan.

Terdahulu, portal Malaysiakini semalam melaporkan, Chef Wan berkata mahu menampar muka Najib ketika hadir berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan 1, di Jelai, semalam.

Perkara itu berlaku apabila Chef Wan tidak merestui langkah Felda ketika ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memberikan imbuhan kepada peneroka yang dianggapnya rasuah.

Chef Wan berkata, pemberian wang berkenaan tidak bermakna jika pada waktu yang lain kerajaan BN 'merompak' agensi terbabit sehingga bankrap.

"Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu? Come on!

"Kamu letak Isa Samad (bekas pengerusi Felda) di situ dengan tahu ada bermacam hal dia buat sebelumnya.

“Kalau dia (Isa) ada di sini I tampar muka dia," katanya.

Tidak puas dengan kenyataan itu Chef Wan juga menyatakan dia mahu menampar Najib.

“I tampar muka Najib tu, kurang ajar!" katanya.

Kenyataan Chef Wan menyebabkan banyak pihak marah dan turut mengakibatkan Facebook Go Shop di mana beliau menjadi duta rancangan itu diserang netizen.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 12:29pm
d