utama

Letupan mercun, 34 cedera

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA puluh empat individu cedera dalam letupan mercun di atas jambatan persimpangan bertingkat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves , jam 8.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun datang ke kuil berkenaan bersama dua rakan bagi upacara keagamaan.

“Suspek kemudian membakar mercun bagi tujuan meraikan dan menyambut Thaipusam. Tiba-tiba mercun itu yang sepatutnya meletup di udara meletup di atas jalan raya.

“Akibat letupan itu menyebabkan orang ramai yang berada berhampiran lokasi terbabit cedera.

“Suspek kemudian ditahan sejurus selepas kejadian,” katanya pada sidang media, di Pondok Polis Batu Caves, di Batu Caves, hari ini.

Samsor berkata, daripada 34 individu yang cedera, enam mangsa dihantar ke Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh.

“28 individu lagi dihantar ke Klinik Kesihatan Sementara di Batu Caves bagi mendapat rawatan lanjut.

“Kejadian itu turut mengakibatkan tiga kenderaan, Nissan Serena, Proton Exora dan kereta Perodua Myvi yang diletakkan berhampiran lokasi terbabit rosak,” katanya.

Katanya, polis sudah menahan seorang lagi suspek berusia 28 tahun kira-kira jam 1 pagi tadi.

Ia menjadikan dua suspek ditahan polis, setakat ini.

“Kami masih mengesan seorang lagi rakan suspek dikesan yang terbabit dalam kejadian ini.

“Setakat ini, kami sudah menerima dua laporan polis dibuat pemilik kenderaan yang rosak akibat insiden itu,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis tiada mengeluarkan permit bagi pembakaran mercun atau bunga api pada sambutan Thaipusam.

“Insiden letupan mercun ini bukanlah suatu perbuatan khianat, sebaliknya adalah satu insiden yang berlaku secara spontan di mana tujuan suspek membakar mercun bagi meraikan perayaan Thaipusam.

“Sepatutnya, mercun itu meletup di udara apabila dibakar tetapi atas masalah teknikal mercun berkenaan meletup di atas jalan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kesalahan kelakuan cuai dengan sebarang bentuk benda letupan.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 1:31am
d