utama

Bakar aje! [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Langat: Segelintir pemilik kilang haram memproses sisa plastik import di daerah ini turut melakukan pembakaran terbuka untuk melupuskan sisa yang tidak boleh dikitar semula.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan bagi mengaut keuntungan maksimum dengan cara pelupusan termudah iaitu membakarnya.

Tinjauan Harian Metro di kilang dan tapak sisa plastik haram dalam ladang kelapa sawit di Sungai Rambai, Jenjarom di sini turut mendapati sisa sampah yang dibakar menghasilkan bau busuk.

Malah menurut aktivis Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Pua Lay Peng, sampah sisa plastik setinggi lebih lima meter di kawasan kira-kira empat ekar itu turut dibuang dan dibakar ke tempat lain sejauh Port Dickson dan Lukut, Negeri Sembilan.

“Pembakaran itu menyebabkan asap toksin yang dikeluarkan tersebar sehingga lima kilometer termasuk kawasan penempatan saya di Kampung Baru Sungai Jarom.

“Lebih teruk, pengusaha turut membakar sisa yang diletakkan dalam kilang terbiar disewa mereka.

“Kami memuji usaha kerajaan mengambil tindakan menutup kilang haram seluruh negara termasuk puluhan kilang yang berada di sini. Persoalannya bagaimana dengan pelupusan ribuan tan sisa plastik yang ditinggalkan?” katanya.

Beliau turut membawa wartawan meninjau beberapa tempat lain yang dijadikan tapak pelupusan haram sisa plastik import termasuk di kebun kelapa sawit Jalan Sungai Rambai dan berhampiran kolam udang di Telok Mengkuang, Telok Panglima Garang berhampiran Sungai Langat.

Tinjauan turut mendapati air saliran mengalir ke sungai dari tapak pelupusan haram itu berwarna kehitaman.

Rakan aktivisnya, Danial Tay, 64, berkata, walaupun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan memaklumkan bahawa pemberian lesen import (AP) bagi sisa plastik sudah dihentikan kepada mana-mana syarikat sejak ia dibekukan pada Julai tahun lalu, kemasukan sisa itu masih berlaku melalui penyeludupan.

“Jika kurang pemantauan inilah jadinya. Sisa plastik terus masuk dan kebanyakannya jadi sampah.

“Saya difahamkan pengusaha haram di sini memanggil rakan niaga di China untuk usahakan di sini selepas republik itu mengeluarkan larangan import sisa plastik,” katanya.

“Kira-kira RM15,000 sewa kilang, RM6,000 sewa tanah kosong untuk tapak pelupusan kemudian pindah mesin ke sini dari China,” katanya.

“Mudah, dalam seminggu saja mereka sudah set-up kilang tetapi sengsaranya kami penduduk tempatan dan rakyat Malaysia amnya apabila menerima lambakan sampah sisa plastik import,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 10:01am
d