utama

'Saya tak nak ambil kesempatan...'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“SELAMA saya sakit memang ada beberapa persatuan artis datang menghulurkan sumbangan,” kata pelakon Ebby Yus.

“Antaranya Yayasan Artis 1Malaysia (sekarang Yayasan Kebajikan Artis Malaysia) yang berbuat demikian dua tahun lalu.

“Persatuan Seniman beberapa kali datang untuk memberi sumbangan tapi saya menolak dengan cara baik kerana masih boleh bekerja (berlakon) walaupun dalam keadaan sakit. Ada banyak lagi anak seni yang lebih memerlukan bantuan”.

Pelakon dan pelawak itu berkata ketika mengulas perkembangan terbaru dirinya selepas tidak mampu aktif dalam bidang seni akibat komplikasi jantung dan buah pinggang yang kian kritikal.

Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 54, yang ditemui di majlis Malam Budi Bersama Bintang anjuran Persatuan Karyawan Malaysia mengakui, terpaksa berhenti seketika berlakon selepas doktor mengesahkannya mempunyai masalah buah pinggang bocor dan jantung lemah.

“Syukurlah kawan-kawan dan adik beradik banyak membantu. Diikutkan saya kerap masuk hospital.

“Selalunya saya di wad selama dua minggu. Saya dah setahun sakit dan dimasukkan ke wad selama dua minggu tapi tiada siapa tahu.

“Saya dibawa balik ke rumah kakak di Port Dickson. Selepas itu saya duduk di rumah kakak di Melaka dan rumah adik di Shah Alam. Kemudiannya barulah saya balik rumah sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya sekarang menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Rawatan buah pinggang pula di Hospital Kuala Lumpur. Kos rawatan yang diperlukan amat tinggi dan saya juga buat rawatan alternatif,” katanya.

Menurut Ebby, dia masih mendapat tawaran berlakon tetapi terpaksa menolak kerana bimbangkan keadaan kesihatannya.

“Memang banyak tapi saya tak boleh buat. Kalau outdoor saya memang tak mampu tapi kalau dalam studio tiada masalah.

“Saya pilih begini kerana tak mampu berada di bawah matahari terik. Keluarga pun lebih suka saya berehat,” katanya.

Tanpa berselindung, pelakon handal bersilat ini memberitahu mempunyai masalah kewangan agak teruk sekarang.

“Saya dah lepaskan kereta pada orang lain untuk sambung bayar. Kemudian bahagian kongsi saya dalam perniagaan bersama rakan pun dilepaskan sejak setahun lalu.

“Saya tak meminta-minta tapi haruskah saya menolak sumbangan yang diberikan?,” katanya yang turut menerima sumbangan daripada Karyawan.

Ebby berkata, ada peminat tidak dikenali turut menyumbangkan bantuan kewangan.

“Ramai juga kawan-kawan dunia hiburan mahu membantu. Tapi saya tak nak ambil kesempatan kerana kalau boleh nak bekerja bukan sumbangan.

“Masa boleh bekerja, saya tolak bantuan dari Seniman kerana tak nak duit diberikan itu digunakan untuk bayar kereta,” katanya.

Kata Ebby, dia tidak mahu terus bergantung hidup dengan sumbangan orang dan mahu melakukan kerja mampu dilakukannya seperti kerja studio atau menjadi pengacara majlis makan malam.

“Kalau orang bagi duit, sampai bila pun takkan selesai masalah. Saya sudah lama menyuarakan hasrat kepada beberapa pihak untuk terbitkan drama tapi belum berpeluang.

Ebby kini mengalami penurunan berat badan daripada 93 kilogram kepada 82 kilogram sekarang.

Dia melakukan pembedahan pintasan jantung pada 1998.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 4:20pm
d