utama

'Jantina anak biar jadi kejutan'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEHADIRAN cahaya mata sulung, Yusuf Iskandar yang kini berusia dua tahun tujuh bulan melengkapkan kehidupan pasangan selebriti Hairul Azreen dan Hanis Zalikha.

Malah, kegembiraan bertambah buat pasangan itu apabila Hanis kini hamil anak kedua dengan usia kandungan mencecah empat bulan dan dijangka bersalin Mei ini.

Menurut Hairul, 31, atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, isterinya berharap dikurniakan anak perempuan manakala dirinya tidak kisah jantina asalkan sihat dan sempurna.

“Kami belum buat ujian imbasan kehamilan. Jadi, tak tahu lagi jantina anak dalam kandungan. Kalau boleh masa bersalin nanti baru nak tahu. Biar jadi kejutan.

“Ini adalah rezeki dan kurniaan Allah SWT. Apa yang penting, semoga kesihatan isteri dalam keadaan baik serta dipermudahkan ketika bersalin nanti,” katanya.

Pada masa sama, Hairul yang juga pelakon filem Paskal berkata, isterinya masih mengalami alahan dan muntah-muntah hampir setiap hari.

“Bulan pertama kehamilannya saya terkena alahan isteri. Selepas itu saya okey, tetapi dia hingga sekarang masih muntah-muntah. Boleh dikatakan hampir setiap hari.

“Sewaktu mengandungkan Yusof, kalau dia nak muntah saya cuba nak pergi dekat, tapi dia tak benarkan. Macam sekarang, disebabkan sudah ada pengalaman, saya hanya jerit dan tanya saja.

“Keadaannya itu tak mengizinkannya untuk buat sebarang kerja rumah. Saya pun tak benarkannya. Biar dia berehat.

“Dia hanya jaga dan uruskan Yusuf. Kalau saya ada urusan kerja, dia akan pergi rumah mak atau mak mentua,” katanya.

Hairul berkata, Hanis juga mengidam buah durian sama seperti kehamilan pertama. Namun, kekerapan kali ini tidak seperti dulu.

“Isteri masih mengidam durian. Walaupun orang kata makan durian akan panas, tetapi dia makan okey saja sejak dia hamilkan Yusuf lagi.

“Cuma, kali ini tak sekerap dulu yang boleh dikatakan hampir dua minggu sekali. Malah, isteri boleh habiskan sebiji. Sekarang, sebiji durian kami bahagi tiga orang,” katanya.

Hairul turut berkongsi, kucing kesayangan mereka iaitu Bujibu Chempel turut memberikan reaksi luar biasa seolah-olah mengetahui isterinya sedang hamil.

“Bujibu macam tahu isteri hamil. Sejak hari pertama lagi, dia suka duduk atas perut isteri. Sebelum ini tak pernah pula.

“Kalau Yusuf pula, dia tak ada sebarang perubahan emosi. Dia macam biasa saja. Mungkin sebab dia tak tengok lagi. Dia hanya tahu ada ‘baby’ dalam perut,” katanya.

MAKIN SERASI DENGAN FILEM AKSI

BERKONGSI mengenai kerjaya lakonannya, Hairul berkata, dia akan terus berlakon dalam filem aksi kerana berasakan genre itu sesuai dengan dirinya.

Malah, kejayaan filem Paskal tahun lalu dijadikan pengukur untuknya terus beraksi dalam filem aksi dan ingin mencuba sesuatu yang lebih mencabar lagi.

“Saya ada kemahiran sebagai pelagak ngeri. Malah, saya masuk dalam industri pun memang nak jadi pelakon filem aksi seperti The Rock dan Tom Cruise.

“Apabila Paskal berjaya, saya sudah tahu landasan betul dan arah tuju untuk pergi. Alhamdulillah, saya akan terbabit dalam sebuah lagi filem aksi Mac ini.

“Berbeza dengan Paskal, filem ini tak memerlukan saya buat badan, tetapi perlu ‘fit’. Jadi, sepanjang dua bulan latihan saya lebih fokus kepada kecergasan dan stamina,” katanya.

Bagaimanapun, Hairul menafikan dia tidak berlakon drama disebabkan kekangan daripada isteri.

“Isteri okey saja, tetapi saya yang takut tak boleh berikan komitmen. Kita tahu, apabila berlakon filem aksi perlu banyak latihan menggunakan fizikal.

“Bayangkan kalau saya ambil ‘job’ drama dan pada masa sama kena hadir latihan, mesti penat. Saya bimbang tak boleh berikan sepenuh komitmen. Jadi, lebih baik saya tolak secara baik,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 5:30am
d