utama

Wajah terbaru filem marvel

Oleh Susunan Michelle Gun

BERBEZA dengan pelakon lain, Brie Larson enggan terburu-buru menerima tawaran membintangi watak adiwira sebagai Captain Marvel.

Sebaliknya, dia meminta diberikan sedikit masa untuk mempertimbangkan watak besar itu dengan sebaik-baiknya sebelum memberi kata putus kepada produksi.

“Bukan mudah untuk saya buat keputusan dan mengambil masa agak lama untuk memberi jawapan. Saya bersyukur kerana pihak Marvel bersabar menunggu,” katanya.

Menurut Larson, pembabitan dalam filem adiwira Marvel akan mengubah kehidupan dirinya, keluarga, pasangan dan juga rakannya.

“Oleh itu, saya perlu menilai setiap perkara dengan sebaik-baiknya. Tambahan pula saya seorang ‘introvert’, jadi idea kehidupan seharian sentiasa menjadi perhatian umum pasti rasa amat kekok,” katanya.

Lebih menyukarkan apabila pelakon itu tidak dibenarkan berkongsi kepada sesiapa mengenai tawaran berkenaan.

“Perkara ini terlalu dirahsiakan dan saya tidak boleh bercerita mengenainya dengan keluarga mahupun rakan,” katanya.

Ditanyakan sekiranya Captain Marvel adiwira paling gagah, Larson memberitahu portal ComicBook dia kagum dengan kebolehan wanita itu mampu mengeluarkan letupan menggunakan tangannya.

“Ya, Captain Marvel sememangnya sangat gagah. Dia juga boleh menyerap tenaga dan boleh terbang,” katanya.

Mengenai kostum pula, Larson berkata, seramai 20 orang terbabit dalam penciptaan pakaian itu yang mengambil tempoh lebih setahun untuk disiapkan.

“Proses menghasilkan kostum itu agak pelik. Selama setahun hanya ukur dan muat baju.

“Kostum itu ada banyak bahagian. Saya perlu cuba sarung tangan dan banyak kali untuk but.

“Tanpa disedari, suatu hari saya akhirnya memakai kostum itu. Selama ini, saya tidak sedar apa berlaku sebenarnya,” katanya.

Menurut Larson, kali pertama melihat dirinya dalam kostum penuh Captain Marvel, dia berasakan seperti watak Disneyland.

“Selesai cuba kostum itu, saya masuk kereta dan terus pulang,” katanya.

MINTA TUNJUK AJAR

BERCERITA pengalaman berkenalan dengan anggota ‘keluarga’ Marvel Comic Universe (MCU), Larson berkata, dia mempelajari banyak perkara berguna daripada mereka.

“Saya perkenalkan diri sebagai budak baru. Soalan diutarakan seperti jenis makanan tenaga protein diambil dan apabila membuat latihan.

“Selain itu, saya juga bertanya sekiranya mereka rasa selesa memakai kostum. Semua pelakon baik hati dan sangat membantu,” katanya.

Biarpun dengan panduan diberikan rakan pelakon, Larson masih perlu melakukan beberapa perkara sendiri seperti membuat latihan cergas sebagai persiapan watak heroin.

“Watak saya akan menjadi sangat gagah dan boleh menggerakkan planet. Jadi, sekurang-kurangnya saya boleh menggerakkan sebuah kereta.

“Ketika ke gimnasium, jurulatih memberitahu saya boleh cuba lakukannya dan dapat tolak kereta,” katanya.

BERLATARKAN ERA 1990-AN

LARSON wajah terbaru dalam siri filem Marvel yang mengetengahkan mengenai adiwira.

Filem arahan Anna Boden dan Ryan Fleck itu bakal menemui penonton sekitar Mac ini.

Biarpun tidak banyak maklumat mengenai kisah Captain Marvel didedahkan kepada umum, plot cerita filem ini dikatakan turut berkaitan dengan Avengers : Endgame.

Berlatarkan zaman 1990-an, adiwara bernama Carol Danvers ini kacukan manusia dan makhluk asing Kree.

Barisan pelakon lain dalam filem ini adalah Samuel L Jackson, Annette Bening, Jude Law, Ben Mendelsohn dan Djimon Hounsou.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 6:00am
d