utama

400 tahun

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Jelebu: Dua kubur yang dipercayai milik kadi pertama daerah ini, Allahyarham Ishak Abdullah dan isteri, Allahyarhamah Puteri Gepom dalam kawasan tokong di Bukit Sarin, Kuala Klawang di sini, bukan berusia 129 tahun, sebaliknya lebih 400 tahun.

Waris keluarga, Mohd Firdaus Abdul Manaf berkata, dakwaan penduduk mengenai usia kubur itu kurang tepat kerana Allahyarham disemadikan pada tahun 1600 seperti yang dimaklumkan keluarganya.

Pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) itu berkata, nama sebenar moyangnya bukanlah Ishak Abdullah tetapi sekadar digelar Kadi Padang Segenting ketika itu.

“Allahyarham adalah Mufti Pertama Jajahan Jelebu dan masyarakat Cina di tokong memanggilnya Omar Hasan Salleh,” katanya dihubungi Harian Metro, semalam.

Mohd Firdaus berkata, besar harapan keluarganya supaya semua kubur itu dipindahkan kerana ia memiliki banyak nilai sejarah berkaitan penubuhan awal Jelebu.

“Bagi tujuan itu kami akan berbincang bersama Perut ll Luak Jelebu dan meminta kerjasama semua pihak untuk memindahkannya.

“Sebenarnya bukan dua kubur berada di atas bukit itu dan yang berdekatan, sebaliknya ada lima kubur,” katanya.

Beliau menjelaskan, Allahyarham Kadi Padang Segenting dan Puteri Gepom disemadikan di Bukit Teger (kini dikenali Bukit Sarin), manakala tiga yang lain berada di Bukit Tekpaw di Kampung Chepom di sini, yang terletak dua kilometer dari situ.

“Tiga kubur itu milik Allahyarham Datuk Sohor Shahbandar 1 dan isteri, Allahyarhamah Puteri Bedah Toi, selain satu kubur keluarga yang belum dikenal pasti.

“Menurut maklumat yang ada dalam keluarga saya, tiga kubur ini berusia 269 tahun,” katanya.

Mengikut salasilah keluarga, Kadi Padang Segenting dan Puteri Gepom memiliki anak, Puteri Mayang Selinda dan cucu, Puteri Mayang Angsa.

“Puteri Mayang Angsa berkahwin dengan Datuk Gombak dan dikurniakan Puteri Mayang Acheh.

“Selepas itu, Puteri Mayang Acheh berkahwin pula dengan Datuk Man Tunggang dan dikurniakan Datuk Moyang Salleh yang juga Undang Luak Pertama Jelebu,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, Puteri Mayang Acheh mempunyai adik iaitu Puteri Mayang Timah yang berkahwin dengan Raja Lope dan mereka dikurniakan anak, Datuk Sohor Shahbandar 1.

“Keluarga saya berasal daripada keturunan Datuk Sohor Shahbandar 1. Sejarah keluarga kami begitu besar dan peninggalan kubur lama itu adalah sebahagian daripada kami,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kadi pertama daerah yang didakwa meninggal dunia pada 1890 disifatkan sebagai pendakwa Islam terulung di negeri ini, namun sesuatu yang menyedihkan apabila kuburnya kini berada dalam sebuah tokong di Bukit Saring, Jalan Kuala Klawang-Simpang Pertang.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 10:00am
d