utama

Kutip 20,000 hamba abdi

Oleh Reuters

Lagos: Seramai 20,000 wanita dan remaja perempuan dari Nigeria dikhuatiri terjebak dalam kegiatan pemerdagangan manusia di Mali selepas dijanjikan pekerjaan dalam bidang hospitaliti di Malaysia, kata ketua agensi antipemerdagangan Nigeria.

Ketua Pengarah Agensi Kebangsaan Larangan Pemerdagangan Manusia (NAPTIP), Julie Okah-Donli berkata, NAPTIP dan Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM) menemui pendedahan itu ketika lawatan ke selatan Mali Disember 2018.

“Berpuluh-puluh wanita dan remaja perempuan dihantar balik dari daerah Kangaba di selatan Mali bulan sebelumnya. Pasukan yang diarahkan menyiasat kawasan itu mendapati beratus-ratus lagi wanita ditahan di sana.

“Menurut penduduk tempatan, mereka mempunyai 200 tempat yang sama di sekitar selatan Mali. Sekurang-kurangnya 100 ke 150 wanita di kurung di setiap pondok dan 20,000 wanita dikurung setakat ini di sini,” katanya.

Kumpulan wanita dan remaja perempuan berusia antara 16 hingga 30 tahun itu dikatakan dibawa ke Malaysia untuk bekerja dalam bidang hospitaliti sebaliknya dipaksa terbabit dalam aktiviti pelacuran.

“Mereka dikurung dalam keadaan dahsyat - seperti hamba. Mereka juga sukar melepaskan diri kerana disorok dalam lokasi tidak diketahui seperti hutan terpencil,” katanya.

Ribuan wanita dan remaja perempuan dibawa keluar setiap tahun dari negara Afrika yang memiliki ramai penduduk. Sebahagian besar mereka selamat tiba di Eropah namun mereka turut dibawa ke kawasan lain di Afrika Barat.

Menurut Okah-Donli, agensinya bekerjasama dengan IOM, yang mengatur penghantaran balik 41 wanita dan remaja perempuan dari Mali Disember lalu.

“Kebanyakan mereka berasal dari negeri di selatan Nigeria, termasuk Delta, Rivers, Bayelsa, Anambra dan Edo.

“Kemungkinan mereka diperdagangkan ke negara Afrika Barat termasuk Ghana, Burkina Faso dan Ivory Coast,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 10:00am
d