utama

Adiwira King Rusydi [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Klang: “Memang ada yang mengatakan apa saya lakukan ini tak bermanfaat dan membuang masa.

“Namun, saya abaikan kata-kata negatif itu kerana minat dan puas dengan apa dilakukan,” kata pereka kostum dan helmet adiwira, Raja Muhammad Rusydi Raja Mahmood, 22.

Raja Muhammad Rusydi atau lebih dikenali sebagai King Rusydi berkata, minat menghasilkan helmet dan kostum bermula sejak di tingkatan lima lagi.

Graduan Diploma Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana itu berkata, percubaan pertamanya menghasilkan helmet Kamen Rider sebelum mengambil tempahan untuk karakter lain seperti Ultraman, Power Rangers, Batman dan Iron Man.

“Setiap kali menonton siri kartun dan adiwira kegemaran di kaca televisyen, saya akan berfikir bagaimana untuk menjadikan kostum dipakai dalam bentuk realiti.

“Akhirnya, datang idea untuk membuat kostum dan helmet adiwira sendiri hingga saya sanggup menyimpan wang bagi membeli bahan untuk menghasilkannya.

“Mulanya sekadar cuba-cuba tetapi minat semakin bercambah selepas saya menyambung pengajian dalam jurusan filem dan animasi di universiti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Andalas, di sini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, cabaran di peringkat awal adalah meyakinkan ibu dan ayahnya yang tidak begitu menggalakkan dia serius dalam bidang berkenaan.

Namun, King Rusydi tidak berputus asa sebaliknya berusaha membuktikan bahawa bidang pembuatan helmet dan kostum adiwira juga mampu memberi pulangan menguntungkan.

“Bukan saja tidak mendapat galakan daripada ibu dan ayah tetapi kesukaran saya adalah kerana kurangnya rujukan memandangkan tiada rakan terbabit dalam bidang ini.

“Jadi, saya tiada pilihan kecuali belajar sendiri dan gunakan kreativiti yang ada dalam menghasilkan helmet dan kostum sepertimana yang ditempah oleh pelanggan.

“Untuk helmet, saya jual dengan harga RM300 hingga RM1,000 bergantung saiz dan jenis bahan gunakan iaitu gabus, gentian kaca atau pencetak tiga dimensi (3D), manakala kostum pula dijual dengan harga serendah RM1,000 hingga RM3,000.

“Secara purata, saya boleh memperoleh antara RM1,500 hingga RM8,000 setiap bulan dan setakat ini, pendapatan saya terima cukup untuk menampung keperluan diri,” katanya yang turut bekerja di sebuah restoran makanan segera.

Mengenai hala tujunya, King Rusydi berharap impiannya untuk membanggakan negara di peringkat antarabangsa menjadi kenyataan.

“Selain menjadi pereka kostum dan helmet adiwira, saya juga aktif menyertai pertandingan cosplay.

“Sepanjang pembabitan, banyak anugerah sudah diperoleh, namun pencapaian terbaik saya adalah menduduki tempat kedua dalam pertandingan World Cosplay Summit pada tahun lalu.

“Kalau boleh, saya mahu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang dan berharap hasil kerja diterima baik hingga ke luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 9:01am
d