utama

'Sanggup dia berkorban untuk saya...' - Ebby Yus

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

“SAYA terfikir juga, apa yang saya sudah buat sampai orang sanggup nak derma buah pinggang mereka?” kata pelakon Ebby Yus berikutan ada pihak yang meluahkan hasrat menderma buah pinggang kepadanya.

Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid, 54, yang menderita pelbagai jenis penyakit termasuk buah pinggang bocor, jantung, darah tinggi, gastrik, masalah saraf dan prostat sejak beberapa tahun lalu, mengakui terkejut dengan tawaran itu.

“Buat masa ini saya bukan menolak, tapi saya mahu berbual dengan individu itu terlebih dulu.

“Perkara ini sangat besar sebab membabitkan nyawa, tapi dia sanggup berkorban sampai begitu sekali,” katanya.

Ebby ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan oleh Persatuan Seniman dan rakan artis di kediamannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, dia perlu berjumpa dan bersemuka dengan individu itu sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran itu.

Katanya, dengan pertemuan itu, sekurang-kurangnya dia dapat bersemuka untuk mengucapkan terima kasih.

Dalam pada itu, pelakon dikenali melalui drama persilatan Keris Hitam Bersepuh Emas sekitar 1990-an turut meluahkan rasa berat hati untuk menerima sumbangan berupa tabung bantuan daripada rakan pelawak lain.

“Kalau ada yang nak buat tabung dan sebagainya, saya minta maaf tidak dapat nak terima.

“Saya menganggap mereka yang menyatakan hasrat dan niat untuk menyumbang sudah dikira 'menyumbang'.

“Doakan saja saya terus kuat bekerja seperti biasa,” katanya menyedari ramai insan mulia yang mahu membantu sejak kisahnya mulai tular.

Laporan Harian Metro semalam, mengenai nasib menimpa Ebby mendapat pelbagai reaksi daripada warganet sehingga muncul seorang individu dikenali Syed Syukri MK bersedia menderma buah pinggangnya kepada pelakon itu.

Ebby menjangkakan akan bertemu dengan individu itu dalam masa terdekat sebelum berlepas ke Tanah Suci untuk melakukan umrah pada 28 Januari ini.

Berita berkaitan

Ebby Yus enggan susahkan keluarga [METROTV]

'Saya tak nak ambil kesempatan...'

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 3:32pm
d