utama

'Kembar' Sufian Suhaimi [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“RAMAI yang tegur kerana menyangka saya penyanyi, Sufian Suhaimi namun saya jelaskan saya hanyalah ‘guard’ di Hospital Seri Manjung (HSM),” kata Mohamad Shah Rizan Mohd Zam Zam, 25.

Mohamad Shah Rizan atau lebih mesra disapa Miejan yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di HSM, di Manjung itu tular di laman sosial sejak minggu lalu kerana wajahnya yang dikatakan seiras dengan pelantun lagu Di Matamu, Sufian Suhaimi.

Menurutnya, dia tidak menyangka gambarnya yang dirakam oleh seorang lelaki dan kemudian dimuat naik di Facebook lelaki berkenaan menjadi tular sehingga menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

“Tidak dinafikan saya sering menjadi perhatian kerana ada yang menyangkakan saya adalah artis. Memang lucu ada yang toleh dua tiga kali, mahu bergambar dan minta saya nyanyikan lagu penyanyi itu, malah ada yang mahu autograf saya.

“Biasanya saya hanya senyum sahaja serta terangkan perkara sebenar dan bukan orang ramai saja yang cakap muka saya seiras dengan Sufian, malah kawan dan ahli keluarga beritahu perkara sama,” katanya ketika ditemui di Seri Manjung, Manjung.

Katanya, dia mengenali Sufian Suhaimi sebagai penyanyi dan mengakui turut meminati lagu artis itu, namun penampilannya yang memakai cermin mata dan berjambang bukan kerana mahu mengikuti gaya artis berkenaan.

“Saya memang suka penampilan berjambang dan sudah simpan jambang sejak lebih tiga tahun lalu dan mula memakai cermin mata sejak awal tahun lalu kerana rabun jauh. Sejak dari itu ramai yang mengatakan wajah saya seiras dengan Sufian.

“Saya tidak tiru sesiapa dan tak mahu orang salah faham kerana saya mahu menjadi diri sendiri serta tidak suka disamakan dengan orang lain,” katanya yang sudah berkerja sebagai pengawal keselamatan di HSM sejak Oktober lalu.

Meijan yang berasal dari Bagan Datuk berkata, pelbagai pengalaman lucu dilalui sepanjang tiga bulan berkerja di hospital berkenaan termasuk sering diusik jururawat yang mengatakan untung HSM kerana ada ‘Sufian Suhaimi’ jadi guard.

“Pernah seorang pelawat wanita berpatah balik menanyakan adakah betul saya Sufian Suhaimi dan mahu tanda tangan saya, namun selepas diterangkan dia ketawa kerana salah faham.

“Baru-baru ini, ada pemilik kedai makan mahu berikan makanan percuma tetapi saya tolak dengan cara baik kerana tidak mahu orang anggap saya mengambil kesempatan,” katanya yang sebelum ini berkerja di Shah Alam.

Miejan yang masih bujang berkata, biarpun sering menjadi perhatian dia tidak mahu orang terus salah faham kerana dia menyedari dirinya bukan sesiapa.

“Bagi saya wajah kami tidak sama dan mungkin orang lihat saya seiras dengan Sufian Suhaimi kerana saya juga memakai kaca mata dan berjambang tetapi saya tidak pernah mengaku saya adalah dia.

“Saya tidak mahu menipu orang atau mengambil kesempatan dengan perhatian yang diberikan ini kerana tidak mahu merosakkan nama sendiri dan juga nama Sufian Suhaimi kerana niat saya ke Manjung untuk mencari rezeki,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui tidak berapa selesa menjadi perhatian kerana segan dan sejak tular ada yang mencarinya di hospital untuk berjumpa, namun dia tetap layan dengan baik.

“Saya tak sangka boleh tular, bagaimanapun saya tidak marah pada abang yang memuat naik gambar kami kerana tahu dia hanya suka-suka dan mahu berkongsi dengan rakannya, malah dia pun tahu saya bukan Sufian Suhaimi,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 8:03pm
d