utama

3 maut, 1 parah dalam nahas

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

TIGA maut manakala seorang parah apabila kereta yang dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam longkang di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, Lubok Jong, Rantau Panjang, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi, mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Zainal Zainuddin, 33, Mohd Zakaria Zainuddin, 22, dan Muhammad Syadzaa Mohd Salleh, 23.

Manakala, penumpang yang parah Mohd Shakirim Hafizi Mohammad Shamsudin, 22, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dikatakan menaiki kereta Perodua Myvi dari Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Mohd Zainal hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelum masuk ke dalam longkang.

“Akibat kejadian itu tiga mangsa maut di tempat kejadian dan seorang lagi parah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Azmi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.14 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 10:24am
d