utama

Ikat perut lapan bulan kerana tiada gaji

Oleh Malik Muhamad

BELUMPUN reda isu tunggakan gaji pemain Terengganu City FC (TCFC) yang belum ada kesudahannya, kini sebuah lagi pasukan yang beraksi dalam Liga FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim lalu iaitu Hanelang FC tampil menuntut hak mereka juga berkaitan tunggakan gaji.

Jika pemain TCFC terpaksa ‘mengikat perut’ selama empat bulan susulan tidak dibayar gaji mulai Julai hingga Oktober 2018, pemain Hanelang FC melalui kehidupan lebih perit selepas tidak mendapat gaji selama lapan bulan mulai Mac hingga Oktober 2018.

Malah pemain Hanelang FC yang didaftarkan di bawah Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu juga hanya mendapat ‘habuan’ janji palsu daripada pihak majikannya berkaitan isu tunggakan gaji mereka biarpun aduan sudah dibuat kepada FAM dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Terkilan dan rasa tertipu dengan pihak pengurusan skuad itu yang turut kerap mengungkapkan janji palsu namun belum melunaskan tunggakan gaji mereka sehingga kini membuatkan pemain pasukan itu tampil menghubungi Sukan NSTP untuk meluahkan isi hati.

“Kesabaran kami kini sudah mencapai tahap kemuncaknya selepas sekian lama menunggu bagaikan buah yang tidak gugur berikutan kedegilan pihak pengurusan membayar gaji kami.

“Kami tampil menghubungi Sukan NSTP tidak berniat untuk memalukan sesiapa tapi hanya untuk meluahkan keadaan sebenar yang melanda kami selain menuntut pihak pengurusan membayar tunggakan gaji kami yang sudah berlarutan hampir setahun sejak Mac tahun lalu,” kata bek kiri skuad itu, Mohd Faizal Mansor yang mewakili 19 lagi rakan sepasukannya.

Selain Faizal yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT), DRB -Hicom, Sime Darby dan Perak, pemain lain yang turut membarisi skuad Hanelang FC itu termasuk bekas kapten Terengganu, Zairo Anuar Zailani, Tuah Iskandar, Hasmizan Kamarodin, Haris Safwan Kamal, Azlan Zainal dan bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Syamsuri Mustaffa.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, sepanjang lapan bulan tidak dibayar gaji kehidupannya begitu perit kerana terpaksa mengikat perut dan meraih simpati rakan dan ahli keluarganya untuk meneruskan hidup.

“Kehidupan begitu perit, kadang kala air mata mengalir membasahi pipi mengenangkan ketika itu isteri saya sakit dan sudah pasti perlu menjalani rawatan susulan secara kerap, saya juga terpaksa membayar sewa rumah selain perbelanjaan harian makan minum dan sebagainya.

“Keperitan yang kami tanggung ini siapa yang tahu? Malah kadang kala saya terpaksa bekerja sebagai tukang rumah, baiki paip, tolong rakan demi kelangsungan hidup.

“Sekarang saya sekeluarga masih belum dihalau daripada rumah sewa kerana masih lagi bayar, tapi tidak mustahil saya akan dihalau keluar rumah suatu hari nanti jika pihak pengurusan masih membisu.

“Justeru kami merayu majikan membayar tunggakan gaji kami seberapa segera kerana kami pun sudah lama mengadu kepada FAM sejak November lalu dan badan induk bola sepak negara itu sudahpun mengeluarkan arahan kepada majikan untuk melunaskan tunggakan gaji namun sampai sekarang habuk pun tiada,” kata Faizal kecewa.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 4:00pm
d