utama

Kayuhan tak berhenti

Oleh Nor Akmar Samudin

Kuala Lumpur: Pernah dua kali diugut bunuh di Myanmar namun Suliman Abd Lah, 49, tidak gentar untuk meneruskan kembara berbasikal secara solo ke negara lain selepas berjaya menamatkan misi Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018 pada Ogos lalu.

Selama empat bulan dia berbasikal secara solo menuju ke Makkah dengan perjalanan sejauh 10,000 kilometer merentasi sembilan negara bermula di negara ini menuju ke Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Oman, dan Arab Saudi hingga melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), semalam.

Menurut Suliman, dia merancang untuk meneruskan kembara solonya tahun ini ke Jepun selama tiga minggu melawat masjid yang ada di Negara Matahari Terbit itu dan tahun depan berhasrat ke Turki pula.

Katanya, seterusnya pada tahun 2021, dia mahu ke Eropah selama sebulan.

“Ketika pengembaraan saya menuju ke Tanah Suci, saya menggunakan wang sendiri dan sepanjang kembara itu saya terpaksa berjimat cermat dengan menumpang tidur di masjid dan sebagainya. Sewaktu tiba di Myanmar saya mahu bermalam di masjid dan saya tak tahu ia adalah satu kesalahan di sana sehingga ada yang datang ke masjid mengugut mahu membunuh saya.

“Saya cekalkan hati menghadapi situasi itu dan syukur saya tidak diapa-apakan. Menerusi pengalaman kembara itu saya belajar banyak perkara apabila kita berada di negara orang dan bangsa yang begitu asing pada kita, jangan sombong, merendah diri dan ramah dengan mereka.

“Insya-Allah kita akan bertemu dengan rakan baru dan apabila kita berada di dalam kesulitan, pasti ada yang sudi membantu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat MBOR, di sini.

Suliman juga amat mengambil berat soal keselamatan kerana dia membawa wang tunai yang disimpan rapi di celah-celah beg galasnya.

Di India, dia berhadapan dengan gangster yang pada bila-bila masa boleh melakukan sesuatu yang tidak baik kepadanya.

“Sebagaimana saya menyaksikan aksi gengster dalam filem India, ia adalah keadaan sama saya laluinya di negara itu. Namun apabila kembara ini tamat, segala yang pahit bertukar menjadi kenangan indah dan sebaik saja tiba di tanah air, saya terus merancang misi kembara yang seterusnya.

“Untuk mengembara secara solo, anda kena berani kerana kita tidak tahu apa yang bakal dihadapi. Saya juga membawa bekalan ubatan dan Alhamdulillah selama empat bulan dalam kembara itu, saya sihat,” katanya.

Suliman berkata, kenangan manis lain apabila tiba di Bangladesh ada yang menegurnya dan beritahu mereka pernah bekerja di Malaysia.

“Saya juga sangat gembira dapat berjumpa orang Malaysia yang bekerja di setiap negara yang saya singgahi dan mereka memberikan dorongan kepada saya untuk meneruskan kembara itu,” katanya.

Kata Suliman, setibanya di Makkah ada hamba Allah yang menyumbang wang membolehkannya menginap di hotel.

“Saya sebenarnya sudah rancang untuk tidur di masjid namun Allah SWT sudah mengaturkan yang lebih untuk saya. Saya berada di Makkah selama 10 hari dan Madinah lapan hari.

“Paling istimewa saya dapat berpuasa dan berhari raya di Makkah. Ini kali kedua saya menjejakkan di bumi Allah SWT itu selepas kali pertama mengerjakan umrah pada 2011. Insya-Allah saya mahu membawa keluarga mengerjakan umrah tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 9:13am
d