utama

Bukan duit semata-mata [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

CYBERJAYA: Mahu membantu golongan kurang bernasib baik mendapatkan rawatan pakar dengan segera tanpa sebarang caj membebankan membuatkan seorang pakar kanak-kanak mengilhamkan kewujudan hospital berkonsepkan wakaf yang pertama di negara ini.

Pusat perubatan dinamakan Hospital Kasih ini menggunakan konsep wakaf di mana rawatan dan ubatan percuma diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata, impian mewujudkan hospital itu bermula sejak beliau mula bergelar doktor pada 2002 selepas banyak turun padang ketika menyertai misi kemanusiaan dan melihat kepayahan golongan terbabit mendapatkan rawatan.

“Saya banyak terbabit kerja sukarelawan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar negara seperti Palestin, Turki serta Kemboja dan melihat masalah ini.

“Saya bandingkan negara kita banyak kepakaran tetapi pemisahan antara swasta dan awam itu terlalu jelas, jadi dengan wakaflah kita rapatkan balik jurang itu.

“Bukan bermaksud wakaf itu duit semata-mata atau masa tetapi membabitkan tenaga yang mana kita menyediakan platform pakar.

“Swasta pun boleh tolong masyarakat tanpa kos tinggi, jadi tidak mustahil kerajaan boleh datang kepada kita atas nama tugasan dengan kadar berpatutan tanpa menekan pesakit,” katanya.

Menurutnya, hospital berkenaan ditubuhkan bagi memendekkan masa temujanji pesakit kurang bernasib baik mendapatkan perkhidmatan pakar tanpa perlu membayar caj.

“Dengan adanya hospital ini, golongan asnaf, penerima kad Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, orang kurang upaya, pelarian dan pelajar boleh mendapatkan perkhidmatan kita secara percuma di bawah satu bumbung,” katanya.

Dr Mohd Zaqrul Razmal berkata, percubaan pertama membina hospital sendiri bermula pada 2008 namun menemui banyak halangan dan pengorbanan termasuk keluar dari zon selesa bergaji lumayan sebagai pakar perubatan swasta.

“Apabila kita hendak buat hospital, bukan satu benda mudah sebab doktor bukan dilihat membangunkan hospital tetapi kebanyakan orang percaya kepada ahli perniagaan yang bercakap mengenai untung dan rugi, berbeza kita (doktor) lebih pentingkan keselamatan pesakit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya melancarkan Tabung Wakaf Khas Kesihatan di Akaun RHB Bank 26601600017920 atas nama Kasih Holdings Sdn Bhd.

“Kita baru saja memulakan operasi klinik untuk pesakit luar di Jalan Vita 2, Cyberjaya pada November lalu dan insya-Allah kita jangkakan hospital di Presint 8, Putrajaya siap di ubah suai pada Julai depan.

“Kekangan kita cuma daripada segi peralatan yang belum mencukupi, jadi untuk menjadikan semuanya lancar, kami memerlukan sokongan semua pihak dalam menjayakan hospital wakaf ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 9:26am
d