utama

Linda Rafar saman 100 'netizen' [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Linda Rafar memfailkan saman terhadap lebih 100 pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan hingga memburukkan diri dan keluarganya berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam pada Disember lalu.

Linda, 41, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar menuntut individu berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial yang digunakan.

Linda menerusi wakil peguamnya, Nurul Hafidzah & Associates berkata, notis tuntutan itu akan dihantar dalam tempoh sebulan bermula tarikh hari ini.

“Kami sudah mengenal pasti individu terbabit berdasarkan komen keterlaluan mereka. Buat masa sekarang, kami masih dalam proses mengumpul butiran lanjut mereka. Selepas itu, baru notis akan dihantar.

“Saya nak mereka buat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas notis diterima. Jika tidak berjawab, tindakan saman bakal diambil.

“Apa yang dibuat ini adalah untuk memberi pengajaran kepada semua pengguna laman sosial supaya tidak sewenang-wenangnya menulis komen yang berbaur fitnah dan mengaibkan. Jangan sesuka hati nak buli orang lain di laman sosial,” katanya kepada Harian Metro.

Linda yang ditemui pada sesi sidang media yang diadakan di Shah pagi, hari ini berkata tindakannya itu mendapat sokongan daripada suami, adik beradik dan keluarga.

“Sebelum mak meninggal, kalau boleh mereka nak saya selesaikan cara baik dengan mengalah dan minta maaf. Ketika itu pun, saya tak terlintas nak sampai tahap ini.

“Tetapi, selepas mak meninggal 11 Januari lalu, perkara ini tak berhenti sebaliknya semakin teruk. Mereka kata sampai bila nak pijak keluarga kami. Atas nasihat peguam dan selepas mengambil kira banyak perkara, saya teruskan notis tuntutan ini.

“Saya tak pernah berasa menyesal dengan apa dibuat. Saya hanya mempertahankan hak ibu. Lagi pula, ini bukan untuk kepentingan saya seorang tetapi orang lain juga yang pernah mengalami nasib sama,” katanya.

Linda menjadi artis pertama yang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna laman sosial.

Dalam masa sama, kes membabitkan saman jururawat terhadap dirinya sedang berjalan di Mahkamah Shah Alam.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 1:08pm
d