utama

Rasakan, kan dah 'viral' - Sajat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“DIA tak ada adab dan tak ada budi bahasa yang baik. Cubalah awak itu ada budi bahasa yang baik, mesti orang tak akan pukul awak,” kata usahawan kosmetik, Nur Sajat, menerusi status yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, hari ini.

Status dimuat naik itu adalah berhubung insiden pergaduhan membabitkan pembantu peribadinya dengan seorang jurujual di sebuah farmasi di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam status terbabit, Sajat memaklumkan tindakan diambil oleh pembantu peribadinya yang memukul jurujual berkenaan disebabkan dia (jurujual) kerana tidak mempunyai adab dan budi bahasa yang baik.

“Awak pula panggil pembantu peribadi saya (anjing) dan kata macam-macam pasal hal saya. Bila pembantu saya datang cari awak, takut pula awak, kan dah bertemu buku dengan ruas.

“Awak pun mengata orang, benci orang atau menyampah dengan orang sekalipun, cuba tengok diri awak! Bukan nak hina, tapi boleh nilai sendiri," tulisnya dalam status berkenaan yang dimuat naik, petang ini.

Sajat turut mendedahkan beberapa gambar jurujual berkenaan dalam status berkenaan dan mengaitkan gambar berkenaan yang dimuat naik individu berkenaan di Facebook sebagai mendedahkan aibnya (jurujual) sendiri.

“Bukan ini gambar awak sendiri masukkan dalam FB (Facebook) dan IG (Instagram) awak sendiri. Aib ya! Apa-apa pun, kan sakit kena tamparan wanita daripada wanita cantik (pembantu peribadinya dan rakannya).

“Lepas ini sayang, cuba hormati orang. Jangan hina dan aibkan orang kerana tanpa kita sedar, satu jari tuju kesalahan orang, sembilan jari menuju pada diri awak. Orang berbudi, kita berbahasa.. Orang dok maki, kita kasi bisa. Rasakan! Kan dah ‘viral’ (tular)," tulisnya.

Insiden pergaduhan antara pembantu peribadi Sajat dengan jurujual berkenaan tular sejak semalam selepas video kejadian itu dimuat naik di laman sosial.

Dalam video berdurasi satu minit dua saat itu menunjukkan mak nyah menyerang jurujual terbabit ketika dia sedang bekerja dan berlaku aksi tampar menampar dan tarik rambut antara mereka sebelum pergaduhan itu dileraikan oleh orang awam.

Malah, jurujual terbabit sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, berhubung kejadian itu pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan," katanya.

Berita berkaitan

Kecoh dua mak nyah serang jurujual

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 5:11pm
d