utama

Bakat kian terserlah

Oleh Ramlah Zainal

Hampir lima tahun berkecimpung dalam bidang seni, akhirnya nama pengacara dan pelakon berbakat besar Sarah Hildebrand kini meniti di bibir peminat.

Semuanya kerana impak watak jahat sebagai Nadine dalam drama bersiri popular Pujaan Hati Kanda di TV3, baru-baru ini.

Dalam drama bersiri yang ‘trending’ itu, Sarah bergandingan dengan Remy Ishak, Mira Filzah dan Syazwan Zulkifli selaku teraju utamanya.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 29, ini mengakui watak Nadine berjaya memberi impak tersendiri terhadap kerjaya lakonannya.

“Saya akui nama lambat naik walaupun sudah lama berlakon. Mungkin kerana watak dilakonkan tidak menarik atau lakonan nampak kayu sebelum ini.

“Jadi, saya bersyukur apabila diberikan watak mencabar seperti Nadine yang dapat menyerlahkan bakat lakonan,” katanya.

Namun, kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Amerika Syarikat dan juara rancangan realiti Gadis M2 2013 ini, dia mahu mencabar diri melakonkan pelbagai watak selepas ini.

“Walaupun sudah berhijab sejak 2015, ia tidak membataskan watak dilakonkan termasuk watak jahat. Saya juga puas bawa watak Nadine dan pada masa sama mahu menyampaikan mesej wanita berhijab juga tidak terlepas daripada sifat buruk.

“Selepas Nadine, saya berharap diberi peluang bawa watak berbeza dalam misi menjadi pelakon ‘versatile’,” katanya.

Sebelum drama Pujaan Hati Kanda, Sarah juga berlakon dalam drama memaparkan kisah pesakit kanser berjudul Nafas bergandingan dengan Erwin Dawson dan Kilafairy.

Pernah mahu tinggalkan lakonan

Ditanya sama ada dia kecewa kerana nama lambat dikenali, Sarah percaya semuanya sudah ketentuan Allah SWT dan setiap orang ada rezekinya masing-masing.

“Saya pernah berhasrat mahu meninggalkan bidang lakonan sebelum ini tetapi akhirnya bangkit kembali selepas bernaung bawah pengurusan baru tahun ini.

“Saya juga merancang kembali aktif berlakon tahun ini dan mengembangkan cabang seni sedia ada termasuk bidang pengacaraan dan nyanyian,” katanya.

Selain drama, Sarah juga menanti peluang untuk beraksi di layar perak.

“Sebenarnya, saya pernah berlakon watak kecil dalam beberapa filem seperti Muluk dan Mirip sebelum ini. Saya berharap diberi peluang untuk berlakon watak yang lebih besar dalam projek filem selepas ini. Antaranya saya mahu bekerja dengan pengarah hebat seperti Syamsul Yusof dan berlakon di samping pelakon terbaik Maya Karin nanti,” katanya.

Program bual bicara sendiri

Walaupun menceburi bidang lakonan, hos program HyppTV Studio ini tetap meminati bidang pengacaraan sejak dulu.

Terbaharu, Sarah diberi kepercayaan mengendalikan program bual bicara sebanyak 13 episod, Dari Meja Peguam untuk saluran RTM.

“Saya sukar menolak tawaran untuk mengendalikan program ini kerana sudah lama mahu mengendalikan program bual bicara yang bersiaran secara langsung di televisyen.

“Selain mengendalikan program ini dalam bahasa Melayu sepenuhnya, program ini memerlukan saya menemu bual peguam yang juga tetamu jemputan di studio.

“Apa yang mencabar, topik ini agak berat kerana ia memaparkan undang-undang negara secara menyeluruh. Namun, saya berusaha memberikan yang terbaik pada pada penonton nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarah juga meminati cabang seni nyanyian sejak di bangku sekolah.

“Bukannya saya tamak untuk merebut semua cabang seni yang ada tetapi bidang nyanyian memang diminati sejak di sekolah rendah.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya juga merancang untuk menghasilkan single selepas ini. Namun, ia bukan single membabitkan lagu cinta yang biasa sebaliknya yang menyampaikan mesej positif dan tema kemanusiaan kepada masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 6:31am
d