utama

Gempita isteri hilang

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KOTA BHARU: Berang pintu bilik hotel penginapan mereka dipecah menjadi punca tiga beradik melepaskan tiga das tembakan di Kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang jam 10.40 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, terdahulu, mangsa berusia 47 tahun dikatakan memecahkan lima pintu bilik hotel untuk mencari isterinya yang hilang sejak sebulan lalu.

Katanya, selepas gagal menemui isterinya, lelaki itu masuk ke dalam kereta Mercedes untuk ke rumah rakannya.

“Tiba-tiba, mangsa diserang tiga lelaki berusia 22 hingga 26 tahun bersenjatakan kayu besbol dan parang.

“Mangsa kemudian mengeluarkan parang sebelum seorang daripada suspek melepaskan tiga das tembakan.

“Mangsa sempat menundukkan kepala dan tembakan hanya mengenai kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.

Menurutnya, mangsa kemudian keluar daripada keretanya untuk melarikan diri namun dapat ditangkap selepas diugut ditembak.

“Mangsa kemudian dipukul dengan kayu besbol dan pistol di kepala sebelum suspek beredar,” katanya.

Katanya, susulan kejadian, pihaknya menjalankan siasatan di lokasi dan menemui empat titisan darah dan tiga kesan tembakan.

“Polis menahan tiga suspek dan mangsa jam 10 malam tadi (semalam) untuk siasatan lanjut.

“Kami turut merampas pistol jenis Luger, tiga peluru hidup, satu anak peluru dan kayu besbol,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 8:13am
d