utama

Rasa sambil jual

Oleh Nurul Amanina Suhaini

MERSING: Merasa sambil menjual, itu kegiatan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang ditahan polis ketika berada di tepi jalan di Jalan Mohd Aris, Kampung Sungai Muka Dua di sini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang Khamis lalu, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mersing menahan penagih terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, lelaki itu aktif mengagih dadah secara kecil-kecilan sejak tiga bulan lalu, selain disyaki turut mengambil kesempatan ‘merasa’ dadah yang ingin dijual.

“Suspek cuba melarikan diri ketika ditahan, tetapi ditahan. Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis menjumpai satu beg pinggang berisi 10 peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 100.79 gram.

“Polis turut menemui satu peket plastik lutsinar berisi hablur jernih mengandungi dadah disyaki syabu seberat 1.88 gram. Semua dadah berkenaan berharga RM4,100 dipercayai untuk diedarkan kepada penagih sekitar daerah ini.

“Suspek mempunyai dua rekod lampau jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis opiate dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, semalam.

Cyril Edward berkata, pada hari sama, pihaknya turut menahan empat individu termasuk seorang wanita tempatan berusia 18 hingga 32 tahun dalam serbuan di kediaman Kampung Pengkalan Batu Mersing, jam 9.55 pagi.

Katanya, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mersing bersama Polis Marin, pasukan khas Balai Polis Mersing dan AADK di rumah yang dipercayai menjadi lokasi menghisap dan mengedar dadah.

“Semua ditahan didapati positif dadah methamphetamine, selain direman enam hari sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Op Tapis Bersepadu dijalankan pada Khamis hingga kelmarin, 23 individu berusia 17 hingga 65 tahun ditahan bagi pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan keseluruhan rampasan bernilai RM5,000 membabitkan heroin (134.68 gram), syabu (1.86 gram) dan air ketum (19.5 liter).

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 8:32am
d