utama

'Maskot rezeki saya dan kucing'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“MAK CIK tidak malu memakai maskot walaupun berpeluh terutama hari panas.

“Cari rezeki dengan cara ini bukan hanya untuk diri tetapi juga untuk 50 ekor kucing yang mak cik bela di rumah,” kata Siti Endon Ismail dari Kuantan.

Wanita berusia 56 tahun itu gigih menghiburkan pengunjung terutama di pantai Teluk Cempedak dengan memakai pelbagai maskot.

Antara maskot yang dimilikinya adalah Hello Kitty, Doraemon, Snow White dan beruang.

Malah gambar Siti Endon yang ketika itu memakai maskot Doraemon terduduk di atas batu dengan kepalanya memandang ke bawah tular di laman sosial Facebook (FB) sehingga menimbulkan simpati ramai netizen.

Aksi comelnya yang menari dan berjoget bukan saja menarik minat kanak-kanak tetapi orang dewasa juga tidak melepaskan peluang bergambar.

Baginya, usia yang mencecah separuh abad bukan alasan baginya untuk hanya duduk dan mengharapkan bantuan orang kerana dia masih mempunyai kudrat yang boleh dikerahkan untuk mencari pendapatan bagi menampung hidup.

“Mak cik tidak malu memakai maskot dan tetap berjalan di sekitar kawasan ini untuk mencari pengunjung yang mahu bergambar.

“Mak cik tidak menetapkan sebarang bayaran tertentu jika orang mahu bergambar sebaliknya terpulang kepada mereka menyumbang seikhlas hati,” katanya.

Dia yang tinggal di Kampung Tengah berkata, dia sudah melakukan pekerjaan itu sejak tiga tahun lalu dan hasilnya digunakan untuk menampung kehidupannya termasuk membeli keperluan kucing yang dibelanya.

“Jika mak cik tak bekerja bagaimana mahu membeli makanan mereka.

“Mak cik sendirian di sini (Kuantan) anak-anak semua tinggal dengan bekas suami, hanya kucing inilah yang menjadi peneman mak cik..sebab itu mak cik pastikan kebajikan mereka terjaga,” katanya.

Katanya, sebelum ini setiap kali menggayakan maskot dia turut membawa bersama gegantung mengenai kesedaran menyayangi haiwan terutamanya kucing kerana haiwan juga wajar disayangi.

Menurutnya, hasil yang diperoleh hasil pekerjaan itu kira-kira RM30 sehari.

“Kadang kala ada orang mengupah mak cik menghiburkan mereka di restoran makanan segera di sekitar Teluk Cempedak ini ataupun pada majlis tertentu,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 4:33pm
d