utama

'Sayang status duda'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Penyampai radio, pengacara atau pelawak bertukar angin menjadi penyanyi bukan perkara baharu.

Terkini, penyampai radio Suria FM, Issey Fazlisham, 31, mencuba nasib menghasilkan single pertama berjudul Alololo.

“Saya bukan penyanyi dan tidak perlu bersaing dengan mana-mana penyanyi sekali pun.

“Segala-galanya bermula selepas sembang kosong dengan penerbit Datu Entertainment dan saya luah teringin ada lagu sendiri.

“Tujuan buat single bukan mahu bersaing cuma sejak jadi anak seni pada 2013 hingga sekarang, saya teringin memiliki lagu yang boleh didokumentasi untuk dikongsi dengan anak cucu,” katanya.

Sebagai langkah awal, dia berbincang dengan komposer, Mr Yin untuk menulis lirik sendiri.

Sehinggalah apabila dalam penerbangan ke Lombok tahun lalu, Issey ternampak pasangan Indonesia yang bergaduh manja dan si lelaki pula sedang memujuk.

Daripada situ, dia mendapat idea dan menulis lirik dalam pesawat. Malah, kerana cintakan genre dikir, dia turut menyelitkan elemen pantai timur itu ke dalam lagu Alololo.

Anak jati Kelantan itu mengaku tidak kisah jika peminat mengaitkan lagu itu dengan kisah peribadi.

“Saya anggap ia perkara bagus. Kadang kala orang nampak saya seperti lelaki gatal tapi itu hanyalah karakter depan kamera atau dalam konti radio saja.

“Saya cuba bawa karakter (gatal) itu ke dalam lagu pula dan sesiapa yang mendengar pun tahu ia komedi sinikal,” katanya.

Tanpa berselindung, dia sedar, kebanyakan penyampai radio yang mempunyai lagu sendiri sukar menyiarkan lagu mereka di tempat kerja dan stesen pesaing lain.

Disebabkan itu, dia tidak pernah menyasarkan lagu Alololo diputarkan di radio tempatan sebaliknya mahu ia disiarkan di platform digital seperti YouTube, Spotify, Joox atau KKbox.

Dalam pada itu, kerana sering tampil dengan karakter miang, bekas penyampai radio Hot FM itu pernah diganggu gadis misteri yang memperkenalkan dirinya sebagai Anis.

“Gangguan ini bukan direka-reka. Biasalah, apabila terima panggilan daripada pendengar, kadangkala masuk banyak sekali gus dan tak sempat nak tapis.

“Individu itu menghubungi konti dan kami bercakap mengenai topik menabung. Individu itu membuat panggilan di hujung perbualan dan beritahu mahu bercakap dengan saya.

“Saya memang tidak kenal individu bernama Anis itu tapi dia mendakwa saya sekat laman sosial Instagramnya,” kata Issey.

Individu itu turut mengganggu dengan menghantar pesanan di WhatsApp rasmi Suria FM dan mempersoal kenapa Issey tidak mahu menjawab pertanyaannya sebelum ini.

Issey mendakwa pada awalnya dia menganggap gangguan itu sekadar usikan daripada rakan penyampai tetapi mereka menafikannya.

“Pihak pengurusan tidak masuk campur melainkan kalau peminat melakukan tindakan melampau sehingga menjejaskan reputasi syarikat.

“Diakui ketika bersiaran watak saya nampak gatal tapi saya tidak layan sangat pun kerenah peminat,” katanya.

Issey turut ditanya mengenai status duda dan kesediaannya untuk menjalin hubungan baharu.

Dia yang bercerai tiga tahun lalu menafikan trauma untuk berkahwin sekali lagi tetapi buat masa ini belum bersedia buka hati kerana sibuk dengan kerja.

“Sayang sebenarnya nak tinggalkan status duda. Sesekali ada juga teringin nak ada anak sendiri cuma bukan sekarang.

“Saya nak kukuhkan kerjaya terlebih dulu. Lagipun, dengan status ini bukan semua orang boleh terima,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 6:05am
d