utama

7,300 kali terjunan

Oleh Mohamad Hussin

Kuala Lumpur: “Buat masa ini, saya tidak terlintas di fikiran untuk berhenti daripada melakukan aksi terjunan udara (skydiving) kerana sudah minat dan sebati dengan aktiviti lasak ini.

“Alhamdulillah, selagi kudrat masih mampu dan kuat akan saya lakukannya. Terjunan terakhir saya pada Disember tahun lalu,” kata Abdul Karim Salleh, 69, yang sudah melakukan lebih 7,300 kali terjunan udara sejak 1977 hingga kini.

Jurulatih Kelab Payung Terjun Kuala Lumpur itu berkata, bagi peminat sukan payung terjun itu, aspek keselamatan akan terjamin sekiranya mereka mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan dan dipelajari ketika mengikuti kelas teori penerjunan.

“Bohonglah kalau saya kata tidak takut setiap kali ingin melakukan aksi terjunan. Sampai bila-bila, seseorang penerjun itu akan rasa gerun dan gemuruh apabila melakukan terjunan.

“Namun, apabila kita ada ilmu pengetahuan dan keyakinan diri yang tinggi akan membuatkan kita berasa berani. Perkara yang paling penting dalam terjunan ialah keselamatan, ketepatan masa, tidak boleh sambil lewa dan setiap saat perlu diambil kira.

“Mereka yang pertama kali mahu melakukan terjunan udara perlu menjalani kursus teori dan praktikal selama tiga hari sebelum dibenarkan melakukan terjunan,” katanya.

Abdul Karim yang juga bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, bagi mereka yang terjun pada kali pertama, paras selamat ialah di bawah 3,657 meter.

“Peralatan lain yang diperlukan ialah cermin mata atau goggle, kasut getah tidak bertumit, baju trek, topi keselamatan, beg menyimpan payung utama dan payung simpanan serta altimeter (meter penunjuk ketinggian).

“Dengan melihat altimeter pada beg menyimpan payung, seseorang boleh mengetahui paras ketinggian penerjunannya. Alat itu jugalah yang memberi petunjuk bila sepatutnya penerjun menarik kabel pembuka payung.

“Sebelum mendarat, penerjun sebaik-baiknya menentang arah angin bagi memudahkannya mendaratkan kedua-dua belah kaki secara serentak di bumi,” katanya.

Menurutnya, sepanjang pembabitannya sebagai penerjun, dia pernah mengalami kecederaan di lutut dan terpaksa berehat selama setahun bagi memastikan ia benar-benar pulih.

“Walaupun kecederaan yang dialami serius ia tidak melemahkan semangat saya untuk melakukan lagi terjunan udara kerana tidak serik dan sememangnya memang minat.

“Peminat sukan payung terjun itu mampu memberi kepuasan dari segi kejayaan mengatasi perasaan takut. Begitulah keseronokan yang dialami oleh peminat sukan payung terjun. Segala-galanya ini akan dapat dirasai sebaik saja terjun dari kapal terbang dan berlegar di udara,” katanya.

Kelab Payung Terjun Kuala Lumpur kerap mengadakan latihan dan kursus kepada orang ramai yang berminat menyertai aktiviti itu di Segamat, Johor.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 9:39am
d